CYBERJAYA: Fenomena cuaca panas masa kini nyata membuatkan orang ramai mengeluh.
Perkara itu berikutan peralihan monsun dan disusuli El Nino bulan depan lantaran menjadikan keadaan suhu harian yang lebih panas daripada biasa.
Secara tidak langsung, ramai yang bimbang akan masalah kesihatan berpunca daripada strok haba, terutama apabila negara dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak 11 tahun di Kelantan, baru-baru ini.
Pelbagai inisiatif dilakukan bagi mencegah diri daripada terkena sebarang penyakit antaranya ada yang mengesyorkan supaya mengambil minuman ais untuk melegakan tekak terutama ketika cuaca panas.
Bagaimanapun, saranan terbabit dikatakan menimbulkan risiko seperti mengganggu sistem pencernaan iaitu saluran daerah mengecut, nutrien tidak diserap badan.
Ia dikatakan merendahkan kadar degupan jantung, mengurangkan nutrien dalam badan dan mengakibatkan jangkitan dalam kerongkong.
Pakar Dietik Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof berkata, pemilihan minuman sejuk, ais atau masak tidak penting tetapi pengambilan itu perlu mencukupi keperluan tubuh.
“Ini kerana ketika cuaca, orang ramai perlu memastikan badan cukup air supaya terhindar daripada keadaan dehidrasi atau kekeringan. Jadi air sejuk, ais atau air masak tidak mengapa, janji pengambilannya mencukupi.
“Bagaimanapun, apa yang perlu dielakkan adalah makanan masin atau minuman berkafein, minuman manis, berkola, minuman beralkohol yang boleh menyebabkan seseorang membuang air kecil lebih kerap.
“Air minuman isotonik atau minuman sukan juga baik pada cuaca panas melampau ini terutama apabila kita berpeluh dengan banyak. Ia bagi menyeimbangkan electrolytes dalam badan yang hilang ketika berpeluh,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Sementara itu, Dr Barakatun Nisak yang juga Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar, UPM berkata, orang ramai boleh mengetahui keperluan airnya mencukupi atau sebaliknya dengan melihat warna air kencing.
“Warna itu boleh jadi petunjuk misalnya jika warnanya terlalu pekat, kita kena minum lebih air.
“Secara mudahnya, minum air lapan gelas sehari, namun ia bergantung berat badan masing-masing, lagi tinggi berat, lagi banyak air perlu diminum,” katanya.