HomeHiburanEd Sheeran tidak ciplak lagu - Mahkamah AS

Ed Sheeran tidak ciplak lagu – Mahkamah AS

NEW YORK: Mahkamah Amerika Syarikat (AS) memutuskan lagu popular, ‘Thinking Out Loud’, yang dinyanyikan oleh Ed Sheeran bukanlah satu ciptaan yang diciplak daripada lagu ‘Let’s Get It On’ yang dihasilkan pada tahun 1973.

Keputusan itu sekaligus menamatkan kes saman pelanggaran hak cipta yang difailkan anak penulis lagu tersebut, Kathryn Townsend Griffin.

Menurut Ed Sheeran, keputusan itu turut membantu melindungi proses kreatif untuk penulis lagu di AS dan seluruh dunia.

Malah, sejak awal lagi Ed Sheeran menafikan bahawa dia mencuri elemen dari lagu ‘Let’s Get It On’.

“Saya gembira dengan keputusan kes ini dan ini bermakna saya tidak akan bersara dari karier saya. Tetapi saya kecewa tuduhan tidak berasas ini dibawa ke mahkamah.

“Kami menghabiskan masa lapan tahun bercakap mengenai dua lagu yang mempunyai lirik, melodi berbeza dan empat kord yang berbeza yang digunakan oleh penulis lagu di seluruh dunia.

“Empat kord ini digunakan lebih awal sebelum ‘Let’s Get It On’ ditulis dan akan terus digunakan untuk tempoh yang panjang. Sekiranya juri memutuskan sebaliknya, kami mungkin akan ucapkan selamat tinggal kepada kebebasan bagi penulis lirik,” katanya seperti dilapor BBC.

Sebelum ini, waris penulis lagu ‘Let’s Get It On’ mendakwa Sheeran, kumpulan Warner Group dan Sony Music Publishing bertanggungjawab ke atas dakwaan pelanggaran hak cipta.

Untuk rekod, lagu ‘Thinking Out Loud’, tulisan Ed Sheeran meraih populariti di mata dunia pada tahun 2014.

Author

Pilihan Editor