KUALA LUMPUR: Isnin ini (29 Mei), wartawan di Malaysia akan menyambut Hari Wartawan Nasional 2023 (HAWANA 2023) di tengah-tengah landskap media yang berkembang pesat dan satu penanda aras baharu yang menunjukkan kebebasan akhbar di negara ini kian bertambah baik.
Ucapan tahniah ‘mencurah-curah’ diterima daripada rakan media tempatan dan antarabangsa yang gembira mengetahui bahawa kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan akhbar telah meningkat, walaupun bagi kebanyakan pihak definisi kebebasan akhbar boleh menjadi sangat subjektif.
Walaupun mereka memuji indeks kebebasan akhbar baharu, mereka merasakan masih ada ruang untuk penambahbaikan dan mengariskan pelbagai cabaran mendatang termasuk yang ditimbulkan oleh kewartawanan rakyat dan media sosial, pendapatan yang semakin berkurangan dan pertumbuhan media baharu, berita palsu dan maklumat tidak benar dan gangguan digital yang tiada penghujungnya.
Mereka memetik perubahan dalam kancah politik negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk perubahan kerajaan, kebangkitan media sosial dan agenda reformis kerajaan hari ini sebagai antara penyumbang kepada peningkatan dalam indeks kebebasan akhbar di Malaysia.
Dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2023, Malaysia naik ke kedudukan ke-73 dengan 62.83 mata daripada 180 negara berbanding tempat ke-113 dengan 51.55 mata pada 2022. Indeks tahunan yang dikeluarkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) baru-baru ini juga menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan tertinggi antara negara ASEAN dalam kebebasan akhbar mendahului Thailand (106), Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178).
Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM) turut teruja menjadi sebahagian daripada kumpulan media di negara ini yang meraih keuntungan dari segi kebebasan akhbar, seperti dibuktikan dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2022 yang dikeluarkan baru-baru ini oleh RSF.
FCCM mengalu-alukan pencapaian ini dan berharap akan ada peningkatan berterusan di bawah kerajaan reformis kepada rangka kerja kawal selia yang mentadbir akhbar, merangkumi undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
“FCCM dan ahlinya berminat untuk memainkan peranan dalam proses ini dan berharap dapat melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa untuk melangkah ke hadapan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama,
HAWANA BUKTI KOMITMEN KERAJAAN JAMIN KEBEBASAN MEDIA
Sementara itu, editor dan wartawan kanan Indonesia menyifatkan sambutan HAWANA buat kali ketiga membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan memastikan kebebasan media di Malaysia terus subur.
Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Indonesia, Asro Kamal Rokan berkata, kerjasama organisasi media di kedua-dua negara turut digalakkan kerajaan untuk mengatasi segala isu berkaitan media termasuk berita palsu dan mengharungi cabaran berat di era digitalisasi dan globalisasi.
“Kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik apabila media tidak kritis.
“Selamat Hari Wartawan Malaysia kepada semua yang tidak pernah berhenti memperjuangkan kepentingan rakyat dan berpihak untuk rakyat dalam menyuarakan hati nurani mereka,” kata bekas editor akhbar Republika dan ketua agensi berita ANTARA itu.
Ketua Persatuan Wartawan Indonesia, Atal Depari pula memuji keprihatinan kerajaan memberi ruang kebebasan kepada wartawan untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia, sama seperti Dewan Pers di Indonesia yang secara relatifnya bebas.
Atal, yang tidak dapat hadir di sambutan kali ini kerana tugasan, berpendapat sambutan kali ini akan terus menjadi platform memajukan kebebasan media di Malaysia untuk berkembang baik.
CABARAN MEDIA SOSIAL DAN PLATFORM GLOBAL
Sementara itu, Ketua Forum Pemimpin Redaksi Indonesia, Arifin Asydhad melihat media di Indonesia dan Malaysia hampir sama-sama terpinggir susulan kemunculan media sosial yang dominan dalam kalangan masyarakat dan platform global dalam ekosistem industri media massa.
Wartawan dipertanggungjawab mengeluarkan maklumat yang benar dengan pelbagai peraturan dan kod etika sedangkan media sosial menghasilkan apa saja maklumat kepada masyarakat tanpa batasan.
Justeru, katanya, komuniti wartawan perlu terus mendorong agar media sosial dan platform global turut mengeluarkan maklumat yang benar dan boleh dipertanggungjawabkan, kata Arifin.
“Di Indonesia, satu peraturan terhadap platfom global untuk menyokong kewartawanan yang berkualiti sedang diperjuangkan. Langkah seterusnya adalah untuk mengawal selia media sosial. Peraturan ini boleh melindungi hak masyarakat untuk mendapat maklumat yang benar dan tepat,” katanya.
“Apa yang dilakukan komuniti wartawan di Indonesia sangat penting untuk dilakukan Malaysia. Sempena HAWANA 2023 ini, wartawan sudah harus melihat persoalan ini dengan lebih jelas dan memperbetul kewujudan media sosial dan platform global,” katanya, yang juga Ketua Editor portal berita Kumparan.
SENARIO POLITIK TEMPATAN DAN KEBEBASAN MEDIA
Penasihat Eksekutif Dunia Perkhidmatan Penyiaran Awam Thai (PBS Thai), Thepchai Yong berkata, peningkatan yang memberangsangkan dalam kebebasan akhbar di Malaysia menggambarkan transformasi positif dalam landskap media negara berikutan perubahan dalam kepimpinan politik.
“Saya gembira menyaksikan transformasi positif dalam landskap media Malaysia kerana perubahan kerajaan membawa persekitaran media yang lebih bertolak ansur. Tiada lagi kawalan ketat atau sikap tidak bertoleransi terhadap kritikan.
“Malaysia menonjol sebagai contoh yang baik tentang bagaimana persekitaran media telah mengalami peningkatan yang luar biasa,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Presiden INNOVATION Media Consulting, Juan Señor, yang berpangkalan di London dalam perutusannya kepada wartawan Malaysia berkata; “Saya menulis untuk menyatakan sokongan terhadap usaha anda dalam menegakkan media bebas di Malaysia. Komitmen anda terhadap kebenaran, ketepatan dan keadilan adalah penting untuk demokrasi yang sihat. Peningkatan anda dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia adalah bukti kepada pencapaian ini.
“Wartawan mesti dibenarkan melakukan tugas mereka tanpa rasa takut akan tindakan balas. Orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui apa yang kerajaan mereka lakukan dan media bebas adalah penting untuk memastikan hak ini ditegakkan.”
Beliau juga menggesa rakyat Malaysia untuk menyokong media bebas mereka dan memberitahu kerajaan bahawa mereka menghargai media bebas.
Sementara itu, Felow Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, Dr Oh Ei Sun, mengaitkan peningkatan indeks kebebasan akhbar Malaysia dengan kancah politik tempatan di negara ini sejak beberapa tahun lalu.
Beliau menyatakan bahawa senario media Malaysia telah banyak diliberalisasikan sebahagiannya akibat kekerapan perubahan kerajaan yang menyebabkan campur tangan politik ‘lebih ditakuti’.
“Hanya diharapkan trend liberalisasi ini dapat diteruskan. Tetapi ini adalah prestasi cemerlang oleh wartawan Malaysia yang semakin berani,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagaimanapun, penganalisis itu percaya perkembangan itu mungkin terganggu jika kuasa konservatif dan regresif menguasai pentas politik sekali lagi.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di negara ini.
HAWANA 2023 akan diadakan di Ipoh Perak dari 27-29 Mei dengan bertemakan ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ bagi menekankan semula isu kebebasan media bagi wartawan yang melaksanakan tugas mereka. Ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei. – BERNAMA