MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka menahan 41 pendatang asing dalam beberapa serbuan berasingan menerusi Op Gegar dan Op Mahir di sekitar bandar raya ini serta Bukit Rambai, semalam.
Pengarahnya, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, mereka terdiri daripada 23 warga Myanmar, enam warga Thailand, China dan Indonesia masing-masing lima serta dua Bangladesh, yang kesemuanya berusia antara 19 hingga 43 tahun.
“Dalam Op Gegar, beberapa hotel bertaraf tiga bintang di sekitar Melaka Raya telah diserbu berikutan dipercayai terdapat wanita warga asing menawarkan aktiviti tidak bermoral.
“Mereka dipercayai melakukan kegiatan itu melalui aplikasi WeChat dan sindiket itu didapati mengenakan bayaran antara RM230 hingga RM800 mengikut pakej perkhidmatan ditawarkan,” katanya dalam kenyataan.
Anirwan Fauzee berkata, dua wanita Indonesia dan lima wanita bersama seorang lelaki warga Thailand ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta melanggar syarat pas atau permit dikeluarkan.
Beliau berkata, turut dirampas ialah beberapa bungkusan kondom, minyak pelincir dan telefon bimbit yang disyaki digunakan bagi tujuan aktiviti tidak bermoral itu manakala pelanggan dan pengurus hotel terbabit turut disaman.
Menurut Anirwan Fauzee, bagi Op Mahir pula, sebuah kilang kitar semula di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai diserbu dipercayai menggaji warga asing secara haram.
“Keadaan kilang yang bertutup rapat dan dikelilingi pagar zink itu dipercayai cuba mengelak aktiviti mereka dihidu pihak penguat kuasa dan ketika serbuan, hampir kesemua pekerja warga asing panik dan bertempiaran lari ke kawasan semak untuk menyelamatkan diri daripada ditahan,” katanya.
Beliau berkata, ada warga asing sanggup memanjat tembok untuk ke kilang bersebelahan kerana dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah sehingga mengalami kecederaan di kaki akibat terpijak pagar zink.
Katanya, seramai 39 pekerja warga asing itu telah diperiksa lanjut dengan 31 lelaki dan dua wanita ditahan kerana masuk dan tinggal di Malaysia secara haram serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri, kesalahan tinggal lebih masa serta lain-lain kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Pemilik kilang itu dikeluarkan saman untuk tindakan selanjutnya dan kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Melaka untuk siasatan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA