IPOH: Kelab bola sepak Perak FC hari ini mengumumkan penamatan khidmat Datuk Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih pasukan itu berkuat kuasa serta-merta.
Perak FC dalam kenyataan di laman rasmi Facebook pasukan itu, memaklumkan tempat jurulatih yang berasal dari Melaka itu akan digantikan oleh pengendali Perak FC B-23, Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih sementara skuad berkenaan.
“Perak FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan khidmat Teong Kim bersama pasukan.
“Kami juga mengucapkan selamat maju jaya dengan kerjaya kejurulatihan beliau di masa hadapan dan mendoakan yang terbaik,” menurut kenyataan itu.
Teong Kim menjadi jurulatih ketiga yang ditamatkan khidmat oleh pasukan Liga Super musim ini selepas pengendali Kelantan FC Choi Moon-sik dan Tomas Trucha dari Kelantan United FC.
Sepanjang Liga Super musim 2023 pasukan yang mendapat jolokan The Bos Gaurus itu hanya meraih dua kemenangan, tiga seri dan tujuh kekalahan selepas 12 perlawanan dan menduduki tangga ke-11 liga dengan mengutip sembilan mata.
Teong Kim dilantik ke jawatan berkenaan pada September tahun lepas menggantikan Yusri yang ditugaskan membimbing skuad B-23 Perak FC.
Untuk rekod, Yusri mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan dan memulakan karier kejurulatihan sejak 2014 bersama pasukan Perlis. – BERNAMA