HomeSukanIvan Toney digantung daripada aktiviti bola sepak

Ivan Toney digantung daripada aktiviti bola sepak

PENYERANG Brentford, Ivan Toney digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama lapan bulan selepas melanggar peraturan pertaruhan Football Association (FA).

Malah, pemain antarabangsa England itu turut mengakui telah membuat pelanggaran sebanyak 232 kali antara Februari 2017 dan Januari 2021.

Dengan pergantungan tersebut, pemain berusia 27 tahun itu tidak akan beraksi sehingga 16 Januari 2024, meskipun dia dibenarkan kembali berlatih pada September.

Menurut laporan Sky Sports News, Toney turut dikenakan didenda sebanyak £50,000.

Penggantungan itu bermakna dia akan terlepas dua perlawanan terakhir Brentford musim ini iaitu menentang Tottenham pada Sabtu dan perlawanan terakhir liga menentang Manchester City.  

“Hari ini saya telah menerima pemberitahuan mengenai larangan lapan bulan saya daripada bola sepak berikutan perbicaraan di hadapan Suruhanjaya Kawal Selia FA yang berlangsung semalam.

“Saya secara peribadi kecewa kerana saya tidak akan dapat bermain untuk lapan bulan akan datang.

“Alasan bertulis untuk keputusan suruhanjaya itu masih belum dikeluarkan, jadi saya tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut pada ketika ini selain mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakan saya, Brentford FC dan peminat kami atas sokongan berterusan mereka, melalui masa yang sangat sukar.

“Saya kini fokus untuk kembali bermain permainan yang saya sukai musim depan,” kata Toney dalam satu kenyataan.

Author

Pilihan Editor