BAGAN DATUK: Kerajaan merancang mewujudkan akta bagi menjamin keselamatan sosial kepada golongan pekerja ekonomi gig membabitkan pekerja e-hailing, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, beliau telah berbincang dengan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar supaya penggubalan akta berkenaan diperhalusi bagi memenuhi keperluan dan kepuasan pihak majikan serta pekerja.
Beliau berkata perkara itu akan mengambil masa agak panjang kerana ia melibatkan Jabatan Peguam Negara, input daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang terlibat dengan industri e-hailing.
“Jika ada akta ini pun, saya fikir ia mesti memuaskan hati semua pihak. Yang penting, asasnya ialah jaminan masa depan mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023 Negeri Perak di Hutan Melintang, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perancangan kerajaan mewujudkan akta berkenaan berdasarkan kepada ucapan perasmian yang menyatakan beliau telah meminta Sivakumar untuk merancang satu akta khas melibatkan pekerja e-hailing.
Dalam pada itu, beliau berkata, perlindungan juga harus diberikan kepada pekerja e-hailing bukan sahaja dari segi insurans, tetapi melibatkan faedah dan manfaat untuk mereka.
“Kita harus memperkukuhkan (akta yang akan diwujudkan itu) kerana ini (ekonomi gig) adalah bidang baharu, terutamanya selepas pandemik (COVID-19) apabila ada yang terpaksa berhenti kerja, ada juga yang diberhentikan.
“Jadi reskilling ini harus dilakukan dan kita mesti menjuruskan mereka kepada bidang bersesuaian dengan kelulusan, pengalaman mereka supaya satu jaminan sosial dan keselamatan dapat diberikan kepada mereka,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan menyelaraskan gaji dengan jenis pekerjaan dilakukan supaya pendapatan diterima pekerja adalah setimpal dengan kerja dilakukan.
Menurutnya, terdapat banyak peluang pekerjaan dalam negara, namun pencari kerja sering memilih untuk mendapatkan pekerjaan kolar putih (melibatkan pentadbiran, pengurusan) berbanding kolar biru (melibatkan angaranya industri pembinaan, perniagaan).
“Kita akan mengkoordinasi perkara ini agar mereka yang menerima latihan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) umpamanya, kerajaan negeri Perak mengambil inisiatif untuk (gaji minimum) dimulakan sekurang-kurangnya RM1,800, dan ini adalah satu langkah yang baik,” katanya. – BERNAMA