HomePendidikanLapor kejadian buli di portal aduan buli - Fadhlina Sidek

Lapor kejadian buli di portal aduan buli – Fadhlina Sidek

CYBERJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menasihatkan kepada semua pelajar yang pernah mengalami atau menjadi saksi kes buli membuat laporan berhubung isu tersebut.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, segala bentuk kejadian seperti gangguan mental mahupun mencederakan atau menyakitkan fizikal, mangsa perlu mendapatkan bantuan segera agar perkara itu tidak berulang pada masa hadapan.

Menurutnya, aduan berkenaan boleh dibuat menerusi portal aduan buli (https://www.moe.gov.my/aduanbuli) secara atas talian, emel, panggilan telefon atau WhatsApp ke nombor 014-8009325.

“Saya ingin berpesan supaya terus megamalkan nilai dan peribadi mulia, tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang berbahaya, menganggu atau mencederakan orang lain, berperlakuan tidak sopan dan beradab serta sebarang aktiviti yang boleh membawa kepada tindakan disiplin dan jenayah.

“Jaga diri, jaga tingkah laku dan teruskan menjadi seorang pelajar yang berakhlak mulia dan berintegriti,” katanya menerusi Facebook rasminya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa dan pelajar supaya memanfaatkan cuti sekolah yang bermula hari ini dengan aktiviti yang bermanfaat.

“Selamat bercuti kepada semua pelajar dan murid selama seminggu bermula esok. Semoga kalian dapat memanfaatkan cuti ini dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.

“Saya sarankan bagi mereka yang mempunyai akses untuk ke Kuala Lumpur supaya berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia),” tulisnya.

Author

Pilihan Editor