HomeBeritaViralPelajar ‘DM’ tak cukup duit nak makan, ADUN Merlimau tampil hulur bantuan 

Pelajar ‘DM’ tak cukup duit nak makan, ADUN Merlimau tampil hulur bantuan 

 

CYBERJAYA: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh membantu seorang mahasiswa yang kurang berkemampuan mendapat pujian warga net apabila sanggup turun padang dan berjumpa sendiri dengan pelajar terbabit.

Dr Muhamad Akmal merangkap Ketua Pemuda UMNO, menyantuni seorang pelajar perempuan di sebuah institut pengajian di Merlimau selepas pelajar tersebut meluahkan masalah yang dihadapinya menerusi ‘direct message (DM)’ di media sosial miliknya.

“Saya faham kadang-kadang ada rasa segan nak bagi kawan-kawan tau.

“Okay begini, saya bagi sedikit duit makan, jadi saya bagi RM150 every month, guna untuk makan.

“Kalau ada barang-barang yang tak cukup apa ke, maklumkan juga pada saya atau maklumkan pada pengarah,” katanya menerusi video yang dimuat naik di TikTok miliknya, semalam.

Dalam pada itu,beliau turut memaklumkan akan menginfakkan sebanyak RM300 setiap bulan untuk membeli barang keperluan seperti biskut, mi segera dan keperluan asas yang lain untuk diletakkan di Food Bank yang ada di institut berkenaan.

Jelasnya, inisiatif itu bertujuan untuk membantu pelajar yang dalam kesusahan.

Beliau berharap para pelajar yang menerima bantuan dapat belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya membalas budi ibu dan ayah mereka.

Sebelum mengakhiri perbualan bersama pelajar perempuan tersebut, Dr Muhammad Akmal menghulurkan wang sebanyak RM200 sebagai duit belanja pelajar terbabit bagi membeli makanan sepanjang bulan Mei ini.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan beliau.

“Inilah YB yang kita perlukan, jaga kebajikan rakyat, YB terbaik,” komen seorang pengguna TikTok.

“Terbaik, memang ramai dalam kesempitan kalaulah ramai yang berkemampuan bantulah mereka. Berkongsi rezeki amalan yang mulia,” tulis seorang lagi warga net.

“Terima kasih YB terbaik, Ketua Pemuda UMNO function,” tulis netizen di ruangan komen itu.

Oleh: AIN JAPRI (Pelatih USM)

Author

Pilihan Editor