PADANG BESAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan melancarkan SUKA, jenama bagi produk keluaran Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).
Keberangkatan tiba baginda di PUSPEN Bukit Chabang di sini, disambut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah PUSPEN Bukit Chabang, Mohamad Zaki Farkhi Ahmad.
Sutekno berkata, jenama SUKA iaitu singkatan bagi ‘Sokongan Untuk Pemulihan Anda’ digunakan oleh AADK untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh klien (pelatih PUSPEN) meliputi hasil pertanian, kimpalan, jahitan dan makanan.
“Sesuai dengan maksud perkataan SUKA, kita mengajak masyarakat untuk sama-sama menyokong usaha pelatih PUSPEN membina hidup baharu dan bebas daripada najis dadah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran SUKA di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat ini lebih sepuluh jenis produk dihasilkan oleh 30 PUSPEN seluruh negara dan AADK menjangkakan jualan mencecah RM500,00 pada tahun ini.
“Selain secara terus, produk ini juga akan dijual secara dalam talian kerana AADK merancang untuk membangunkan laman web perniagaan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan produk SUKA,” katanya.
Sementara itu Pengarah PUSPEN Jeli, Kelantan, Aman Mustapha berkata, klien di PUSPEN Jeli menghasilkan produk pertanian berupa anak pokok durian sebagai sebahagian komponen dalam rawatan pemulihan mereka.
“Produk anak pokok durian kacuk ini merupakan idea klien sendiri yang berminat dengan bidang pertanian dan kita di PUSPEN memberi bimbingan kepada mereka,” katanya.
Menurutnya penjagaan anak pokok durian dapat mendidik klien tentang kesedaran menjaga diri sendiri agar tidak terjebak lagi dengan penyalahgunaan dadah dan barang terlarang.
“Anak pokok durian perlu disemai, dibaja serta disiram dan begitu juga kehidupan ini perlu dijaga dengan baik agar tidak terjebak dengan perkara yang boleh mendatangkan mudarat seperti najis dadah,” katanya.
Pengarah PUSPEN Gambang, Pahang Rosland Hussen pula berkata, produk SUKA menjadikan klien lebih kreatif seperti mengunakan bahan terpakai untuk menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial.
“Di PUSPEN Gambang kita bawa produk ‘orang-orang’ yang diguna untuk menghalau haiwan perosak tanaman dan dihasilkan dari bengkel kimplan mengunakan gabungan teknologi pengesan (sensor) dan tenaga solar,” katanya. – BERNAMA