HomeHiburanPuteri Sarah bebas beri ‘statement’ pada media isu rumah tangga

Puteri Sarah bebas beri ‘statement’ pada media isu rumah tangga

 

CYBERJAYA: Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, hari ini meluluskan permohonan membantah injuksi dibuat pengarah popular, Syamsul Yusof terhadap isterinya yang juga pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.

Puteri Sarah selaku pemohon membuat bantahan itu menerusi peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader kini bebas untuk terus memberikan kenyataan kepada pihak media.

Menurut Akberdin, injuksi itu dibuat untuk mencegah anak guamnya daripada membuat sebarang kenyataan terhadap mana-mana pihak atau platform media.

Katanya, difahamkan pihak peguam Syamsul membuat permohonan injuksi tersebut sebanyak dua kali iaitu pada 24 dan 25 April lalu dan ia berkuat kuasa pada 27 April sehingga 27 Mei ini.

“Hari ini, permohonan anak guam saya untuk membantah lanjutan injuksi Syamsul telah diluluskan hakim.

“Justeru pihak Syamsul perlu membuat permohonan injuksi itu semula,” katanya seperti dilapor Kosmo pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Prosiding hari ini berlangsung di hadapan Hakim Abdul Halim Abdullah dengan Syamsul dan peguamnya diberikan kelonggaran untuk tidak hadir pada prosiding tersebut.

Bagaimanapun, sebutan semula kes ini ditetapkan pada 8 Jun depan.

Sementara itu, Puteri Sarah ketika ditemui memaklumkan kali terakhir dirinya membuat video mengulas isu membabitkan dirinya dan Syamsul adalah pada akhir Ramadan lalu.

Katanya, dia tidak mahu lagi dirinya terus terpalit dengan isu terbabit dan hanya mahu fokus terhadap karier sahaja.

“Saya nak ke lokasi penggambaran drama Hijrah Jannah sebab ada babak yang membabitkan saya.

“Penggambaran babak itu sebentar sahaja kerana selepas itu saya perlu menghadiri Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini untuk kes penceraian saya,” katanya.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Author

Pilihan Editor