HomeHiburanRamai anggap AJL macam ‘World Cup’, saya rasa dah tak relevan -...

Ramai anggap AJL macam ‘World Cup’, saya rasa dah tak relevan – Joe Flizzow

 

CYBERJAYA: Penyanyi hip hop popular, Joe Flizzow, beranggapan pertandingan nyanyian Anugerah Juara Lagu (AJL) hanya membuatkan industri muzik menjadi mundur.

Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 43, mendakwa AJL yang mula diperkenalkan sejak tahun 80-an adalah sebuah pertandingan yang dicipta oleh pihak stesen televisyen bagi mengalahkan rating pertandingan nyanyian lain seperti ‘Bintang RTM’ yang popular pada ketika itu.

Justeru, penyanyi yang popular dengan lagu Satu Malam Di Temasek itu menyifatkan konsep pertandingan daripada tahun 80-an sudah tidak lagi relevan untuk diteruskan penganjurannya sehingga ke hari ini.

“Analoginya seperti saya minta kamu pergi ke satu galeri. Saya minta kamu senaraikan rating lukisan mana yang paling bagus. Bagaimana kamu tentukan?

“Mereka ada cara untuk mengadili lagu dan memilih pemenang yang saya sendiri tak tahu bagaimana. Walaupun ketika saya menang AJL, saya pun tak tahu mengapa saya menang.

“Bagi kebanyakan orang, AJL adalah ‘World Cup’, tapi bagi saya ia hanyalah hari Ahad yang biasa. Saya tak pernah memahami konsep pertandingan nyanyian ini. Selepas 30 tahun, adakah ia masih relevan?”katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Pada masa sama, Joe turut mempertikaikan kaedah pemarkahan dan kreadibiliti juri yang dilantik mengadili pertandingan.

“AJL mengumpulkan banyak penyanyi dan para juri akan mengadili mereka. Sebenarnya, siapa kita untuk mengatakan penyanyi itu lebih baik daripada penyanyi yang lain?

“Ada juri yang tidak pernah mempunyai satu pun lagu hit yang dihasilkan dalam hidup mereka. Siapa mereka untuk cakap seseorang artis itu lebih baik?” soalnya.

Tambah Joe, dia sebenarnya sudah tawar hati untuk bertanding di AJL.

Bahkan penyanyi itu turut mendedahkan pernah menolak pelawaan pihak AJL mencalonkan lagu Alhamdulillah semasa lagu itu terbit pada tahun 2001 bersama-sama Too Phat.

“Waktu itu mereka kata lagu Alhamdulillah adalah peluang sangat besar untuk menang AJL kerana ia lagu hit pada masa itu. Mereka minta untuk kami masuk bertanding AJL.

“Saya kata ‘tidak’ kerana kami bukan penyanyi malam kebudayaan.

“Sebenarnya saya sudah tidak mahu masuk bertanding untuk AJL yang lalu. Tapi pengurus saya kata, pasukan saya sudah berusaha keras untuk lagu Satu Malam Di Temasik. Jadi saya masuk sebab mereka,” ujarnya.

Untuk rekod, Joe Flizzow merupakan naib juara bagi AJL ke-37 menerusi lagu Satu Malam di Temasik.

Malah, Joe juga pernah dinobatkan sebagai juara AJL ke-29 menerusi lagu Aku Tanya Apa Khabar duet bersama SonaOne.

Author

Pilihan Editor