HomeHiburanSiti Nurhaliza nafi ‘open house’ raya jadi majlis politik

Siti Nurhaliza nafi ‘open house’ raya jadi majlis politik

CYBERJAYA: Penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menafikan berita palsu berhubung kenyataan mengenai rumah terbuka Aidilfitri di Kedah menjadi majlis politik.

Perkara itu berikutan perkara terbabit tular di media sosial baru-baru ini.

Malah, Siti turut meminta sebuah portal media tempatan untuk tidak memanjangkan berita palsu berkenaan kerana beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Siapalah yang pandai-pandai edit berita palsu ini, gunakan nama Facebook saya (yang verified) dan ‘forward’ merata-rata serta yakinkan orang ini adalah posting (hantaran) sebenar.

“Bulan Syawal ini, bulan jalinkan silaturahim bukan sebar-sebar berita palsu,” katanya menerusi status dimuat naik di Instagram Story miliknya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi ciapan di Twitter rasminya mengingatkan para pengamal media untuk sentiasa mengesahkan maklumat dan sumber sebelum menerbitkan berita.

Jelasnya, Siti Nurhaliza sudah menegur laman portal media tersebut tentang berita palsu yang ditulis di laman itu namun, berita palsu itu masih tersebar sejak semalam dan telah menjadi fitnah yang merebak dalam komuniti.

“Malah ada yang percaya atau dijadikan bahan politik,” ujarnya.

Justeru, Fahmi menegaskan tindakan undang-undang boleh diambil oleh agensi penguatkuasaan sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran.

Fahmi dalam balasan komen juga menyatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti laman website yang kerap menyiarkan berita palsu dan berunsur fitnah.

Author

Pilihan Editor