PHNOM PENH: Skuad bola tampar lelaki negara menghidupkan peluang berada di kelompok empat pasukan terbaik pada Sukan SEA 2023 apabila menewaskan Myanmar dalam aksi kedua Kumpulan B di Stadium Olimpik Nasional, di sini, hari ini.
Selepas kecewa tumpas kepada Thailand dalam aksi pembukaan semalam, anak buah Shamsaimo Mohd Sharit, bangkit untuk mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas Myanmar dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam 55 minit.
Pun begitu, skuad negara bermula kurang memberangsangkan pada set pertama apabila tewas 22-25, sebelum bangkit pada tiga set berikutnya dengan keputusan 25-21, 25-14 dan 25-20.
Kemenangan itu sekali gus memberi suntikan semangat kepada pasukan kebangsaan yang akan turun beraksi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Vietnam, Sabtu ini untuk menempah slot ke separuh akhir.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, kapten skuad negara, Sim Jian Qin memuji rakan sepasukan yang mempamerkan corak permainan terbaik untuk meraih kemenangan ke atas Myanmar.
Beliau, bagaimanapun mengakui barisan pemain negara bermula agak gementar pada set pertama, namun kembali mendapatkan rentak permainan pada tiga set seterusnya.
“Pada set pertama, kita bermain agak tertekan sebab kita kalah kepada Thailand semalam, dan kita perlu menang hari ini. Namun pada set kedua, kita mula dapat mengatasi tekanan dan berjaya mendapatkan kemenangan.
“Kami semua bermain dengan sangat baik kerana kami tahu bahawa hanya kemenangan akan memberi kami peluang untuk layak ke separuh akhir,” katanya.
Mengenai aksi berdepan Vietnam, beliau berkata pasukan negara tiada pilihan selain perlu mencatat kemenangan untuk menempah tempat ke peringkat separuh akhir.
“Perlawanan menentang Vietnam seperti ‘do-or-die’ match. Saya berharap kita dapat mempamerkan permainan yang terbaik,” katanya.
Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik masing-masing dalam Kumpulan A dan B akan layak ke separuh akhir. – BERNAMA