HomeBeritaWCE: 1,000 penduduk Kg Jawa tuntut MB campur tangan, pertahan Akta Kanun...

WCE: 1,000 penduduk Kg Jawa tuntut MB campur tangan, pertahan Akta Kanun Tanah Negara

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari digesa mengambil perhatian terhadap isu tuntutan penduduk negeri ini berkaitan projek Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat Taiping-Banting (WCE).

Ia berikutan, isu berkenaan membabitkan rakyat tempatan yang membayar cukai tanah, cukai petak dan cukai taksiran ke atas kediaman mereka, bukannya warga asing.

Kira-kira 250 keluarga membabitkan 1,000 penduduk yang tinggal sejak 80 tahun lalu di Kampung Jawa, Klang, dekat sini terkesan dengan projek WCE dan mendakwa mereka terus ditindas, ditipu serta dianiaya.

Aktivis sosial yang juga Presiden Kebangsaan Nambikkai Malaysia, (Nambikkai), Datuk Dr Kalai Vanar mendakwa, pihak berkenaan cuba memperkotak-katikkan penduduk dengan bermacam-macam janji sebelum ini.

Katanya, sejak tanah diwartakan pada 2015, penduduk dijanjikan bayaran pampasan mengikut Seksyen 35, dan mengeluarkan Borang H (Pemberitahu Pemberian dan Tawaran Pampasan), yang sepatutnya menjadi keputusan muktamad.

Tambahnya, perbincangan juga pernah dibuat bersama pihak WCE, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj dan Penyelaras Ahli Parlimen Kota Raja, Azmi Jusoh bersama beberapa wakil penduduk di Hotel Premier, Klang bagi membincang hal itu.

“Penduduk di sini telah dijemput untuk perbincangan oleh JKPTG dan Borang H telah dikeluarkan dengan pemberitahuan akan membayar lapan peratus sebagai penalti.

“Mereka menjanjikan penalti ini akan dibayar selepas tiga bulan Borang H dikeluarkan sehingga bayaran penuh dibuat.

“JKPTG mengeluarkan warta baharu pula pada Mei 2021 hingga 2023 dengan alasan ukuran luas asalnya selain membatalkan Borang H dan mengeluarkan Borang LC (pengambilan tanah) atas alasan perlu menilai semula (tanah),” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili penduduk terbabit selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar di depan pintu masuk SUK, di sini, pada Rabu.

Memorandum itu diserahkan Kalai kepada Pegawai Pentadbir Pejabat Menteri Besar, Mohd Shahril Mohd Syed.

Beliau berkata, sehingga kini tidak ada sebarang tindakan susulan daripada pihak berkenaan berhubung Borang LC yang dikeluarkan itu, sedangkan penilaian sudah dibuat oleh penilai bertauliah menyebabkan penduduk di situ tertanya-tanya, sejak setahun lalu ia dikeluarkan.

“Kita dapati ini adalah satu penipuan daripada pihak terbabit untuk memperdayakan penduduk menyerahkan tanah didiami mereka bagi tujuan pembinaan projek lebuh raya berkenaan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan pelaksanaan Akta Kanun Tanah Negara yang seolah-olah tidak terpakai dalam prosedur pengambilalihan tanah ini yang sepatutnya mengutamakan kebajikan penduduk terutama rakyat tempatan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana merasakan penduduk sudah ditipu.

Sehubungan itu, beliau menggesa Amirudin untuk campur tangan bagi menyelesaikan masalah itu kerana 250 keluarga tempatan bakal dihalau dari penempatan mereka.

Katanya, proses pengambilan tanah di kawasan itu untuk projek WCE melibatkan Seksyen 3 dari persimpangan NKVE/FHR2-Mukim Klang telah bermula sejak 2015.

Untuk rekod, lebuh raya bermula Taiping, Perak hingga Banting, Selangor itu mempunyai 21 persimpangan, yang menghubungkan Lebuhraya Lembah Klang Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Selat Klang Utara dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor.

Author

Pilihan Editor