LOS ANGELES: Penyiasat telah mengenal pasti tepung sebagai punca kepada wabak Salmonella yang menjangkiti sekurang-kurangnya 13 orang di 12 negeri baru-baru ini, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat pada Isnin, lapor Xinhua.
Berdasarkan data makmal dan maklumat yang diperoleh daripada mereka yang dijangkiti, menunjukkan tepung Gold Medal tercemar dengan bakteria Salmonella.
Tiga daripada mereka yang dijangkiti telah dimasukkan ke hospital.
“Tetapi jumlah sebenar mereka yang dijangkiti mungkin lebih ramai daripada yang dilaporkan. Ini kerana sesetengah mereka pulih tanpa rawatan perubatan dan tidak menjalani saringan untuk mengesan Salmonella,” menurut CDC
Minggu lalu, syarikat pengeluar produk itu, General Mills, menarik balik beberapa produk yang mungkin tercemar dengan bakteria berkenaan.
Mereka yang dijangkiti, lazimnya akan mengalami cirit-birit, demam dan kekejangan perut dan gejala selalunya bermula enam jam hingga enam hari, selepas terdedah kepada Salmonella. – BERNAMA-XINHUA