CYBERJAYA: Penyanyi, Ara Johari berdepan detik cemas apabila menjadi mangsa serangan seksual seorang lelaki tidak dikenali selepas membuat persembahan di Nilai, Negeri Sembilan, pada Ahad.
Menurut Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 26, mengatakan kejadian itu pada mulanya tercetus apabila tangannya dicium berkali-kali dengan rakus seorang lelaki yang mulanya disangka sebagai peminat.
“Semalam ada seorang lelaki datang untuk bergambar dengan saya (selepas selesai buat persembahan). Ketika itu ada pengurus dan ibu saya.
“Selepas ambil gambar, dia tiba-tiba hulur tangan untuk bersalaman,” kata Ara yang mengakui tidak selesa untuk bersalaman dengan lelaki asing.
Enggan dilabel sebagai artis sombong, Ara menghulurkan tangan untuk bersalaman, sebelum lelaki itu bertindak diluar dugaan.
“Bila dah salam, tiba-tiba dia genggam tangan saya kuat-kuat. Dalam hati dah istighfar takut apa-apa jadi.
“Dia terus tarik tangan saya dengan kuat, dan cium sebanyak dua kali dengan bersungguh-sungguh (rakus),” ujarnya menerusi perkongsian di Insta-Story baru-baru ini.
Disebabkan terkejut dengan tindakan lelaki terbabit, penyanyi yang popular dengan lagu Bunga itu cuba melepaskan diri, namun gagal kerana tangannya digenggam dengan kuat.
Tindakan lelaki terbabit membuatkan Ara menjerit dengan kuat sehingga menarik perhatian orang awam yang ada di lokasi kejadian.
Hasil bantuan orang ramai, lelaki terbabit berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Dia lari melintasi seberang jalan. Namun orang awam yang mendengar jeritan saya berjaya menahan si pelaku dan menyerahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Rentetan daripada peristiwa tersebut, Ara telah membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Nilai kira-kira jam 12 tengah malam semalam.
Dalam pada itu, Ara turut menasihati golongan wanita berhati-hati supaya tidak berdepan dengan kejadian sama.
“Wanita-wanita diluar sana terutamanya public figure (artis), tolonglah lebih berhati-hati. Sebab kita tidak tahu niat orang dekat kita.
Kalau minat dekat artis sekalipun, janganlah terlampau fanatik dan melampaui batas,” ujarnya.