ISTANBUL: Sebuah mahkamah di Korea Selatan pada Isnin mendakwa seorang bekas eksekutif kanan Samsung Electronics kerana mencuri rahsia perdagangan untuk membina sebuah kilang cip ‘copycat’, lapor Agensi Anadolu.
Pejabat Pendakwa Daerah Suwon di barat laut wilayah Gyeonggi mendakwa bekas eksekutif berusia 65 tahun itu, yang namanya dirahsiakan, kerana melanggar perlindungan teknologi perindustrian dan undang-undang pencegahan persaingan tidak adil, memetik Agensi Berita Yonhap.
Bekas pegawai itu didakwa cuba membina replika lengkap kilang semikonduktor Samsung di China selepas memperoleh data sulit syarikat secara haram, termasuk data kejuruteraan asas (BED) kilang cip dan susun atur proses serta lukisan reka bentuk, dari Ogos 2018 hingga 2019.
Teknologi BED memastikan kemudahan pembuatan semikonduktor bebas kotoran, manakala susun atur proses merangkumi maklumat mengenai pelan lantai dan dimensi proses teras loji cip untuk pengeluaran semikondukto.
Pihak pendakwaan juga mendakwa enam yang lain tanpa ditahan atas tuduhan bersubahat dalam dakwaan kebocoran teknologi, termasuk seorang pekerja subkontraktor Samsung Electronics dan lima pekerja pembuat cip China yang ditubuhkan oleh bekas eksekutif itu, lapor media tersebut.
Menurut laporan, bekas eksekutif itu didakwa menerima pelaburan 460 bilion won (kira-kira $353,000) daripada pelabur China dan menggunakan teknologi Samsung untuk menghasilkan produk percubaan di kilang pembuatan cip di Chengdu di Wilayah Sichuan, tahun lepas. – BERNAMA-ANADOLU