CYBERJAYA: Kumpulan rock popular, Bunkface akan menggegarkan negeri Sabah dengan persembahan konsert berjudul ‘Bunkface Rock In Borneo’ di KDCA, Kota Kinabalu pada 19 Julai ini.
Vokalis Bunkface, Sam berkata, kumpulan berkenaan sudah lama mengimpikan untuk menganjurkan konsert di negeri tersebut.
“Kami sudah lama mengidamkan sebuah konsert sendiri di kepulauan Borneo, atas permintaan peminat dan sokongan daripada Mycreative Ventures Sdn Bhd mewakili Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang telah memberikan amanat Dana Persembahan Muzik 2022/2023 kepada syarikat kami, kami dapat menghadiahkan sebuah konsert kepada peminat kami di Borneo, terutamanya Sabah”, katanya.
Pada masa sama, bass gitaris Bunkface, Youk turut berharap konsert jelajah Borneo itu dapat dilanjutkan di daerah sekitar kepulauan sama.
Bagi peminat khususnya ‘Bunkers’ yang mahu memeriahkan konsert ‘Bunkface Rock In Borneo’, anda boleh membuat pembelian tiket berharga dari RM 88 untuk CAT 1 – Panik , RM 128 untuk CAT 2- Revolusi, dan RM 158 untuk CAT 3 – Situasi di laman web tapau1x.tapau.asia.
Untuk rekod, Bunkface mula berkecimpung dalam industri tanah air sejak 2006 dan antara lagu popular yang seringkali mendapat tempat di hati peminat ialah Situasi, Revolusi dan Panik.