IPOH: Lebih dua hektar kawasan hutan di Bukit Semanggol, Jalan Kubu Gajah, dekat Gunung Semanggol, di sini, terbakar, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 4.37 petang.
Katanya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai dibantu BBP Kamunting telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di lokasi, api sedang marak dan merebak ke kawasan atas bukit melibatkan keluasan lebih dua hektar namun setakat ini tiada mangsa yang dilaporkan terlibat.
“Pada mulanya kita dimaklumkan kebakaran hanya melibatkan kawasan seluas 10×10 meter persegi sahaja dan pihak bomba sedang berusaha memadam kebakaran supaya ia tidak terus merebak ke kawasan lain hutan di atas Bukit Semanggol,” katanya dalam satu kenyataan.
Sabarodzi berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan dan pihak bomba tidak menolak kemungkinan berpunca daripada aktiviti pembersihan kawasan.
Operasi memadam kebakaran masih dijalankan. – BERNAMA