TOKYO: Jepun mungkin memasuki gelombang kesembilan jangkitan COVID-19 dan penting untuk melindungi rakyat terutamanya warga emas, kata pakar, lapor Kyodo News.
“Seiring dengan peningkatan interaksi antara individu, (kenaikan jangkitan) seperti yang dijangka,” kata Shigeru Omi kepada wartawan selepas bertemu dengan Perdana Menteri Fumio Kishida.
Pertemuan itu, antara lain bertujuan untuk membincangkan peningkatan jangkitan selepas kerajaan melonggarkan langkah-langkah pencegahan.
Beliau menekankan bahawa individu yang berisiko tinggi harus divaksinasi dengan vaksin COVID-19.
“Saya tidak pasti sama ada bilangan orang yang dijangkiti akan melebihi gelombang kelapan, tetapi kita perlu memberi tumpuan kepada mengurangkan bilangan kematian dan memastikan kesinambungan aktiviti sosial,” katanya.
Dalam gelombang kelapan, antara penghujung November dan penghujung Januari, negara itu mencatatkan jangkitan harian lebih dari 246,000 kes.
Menurut data terkini yang dikeluarkan pada Jumaat, purata pesakit dalam seminggu hingga 18 Jun ialah 5.60 meningkat daripada 5.11 minggu sebelumnya.
Purata kes di wilayah Okinawa sangat tinggi iaitu 28.74 di setiap kemudahan, yang menurut Omi ini disebabkan sistem penjagaan perubatan kurang mantap dan kadar vaksinasi yang rendah berbanding wilayah lain. – BERNAMA