WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden terjatuh di pentas majlis graduasi di Akademi Tentera Udara AS di Colorado pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Biden cuba kembali ke tempat duduknya ketika upacara hampir berakhir sebelum tersandung objek berupa karung berisi pasir.
Seorang pegawai Tentera Udara dan dua ejen Perkhidmatan Rahsia segera mendapatkan presiden dan membantunya berdiri.
Setiausaha akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre, kemudian memberitahu wartawan bahawa presiden itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan tersenyum lebar ketika menaiki Air Force One.
Sebelum ini, Biden pernah tersandung semasa menaiki tangga lapangan terbang semasa menaiki Air Force One, beberapa bulan selepas dilantik sebagai presiden pada 2021 dan sekali lagi semasa berlepas dari Warsaw awal tahun ini.
Bekas presiden Donald Trump, 76, cuba menjadikan umur Biden sebagai isu kempen 2024. – BERNAMA-dpa