KUALA LUMPUR: Kumpulan rock terkenal Indonesia, Kangen Band sudah bersedia menemui peminat dengan 12 lagu pilihan terbaik di Malaysia dan buat julung kali bakal menghangatkan pentas konsert berskala besar terkemuka negara pada jam 8 malam, di Zepp Kuala Lumpur, 2 September 2023.
Antara lagu ‘trending‘ di media sosial adalah seperti ‘Cinta Sampai Mati’, ‘Dengarkanlah Di Sepanjang Malam Aku Berdoa’ kembali menjadi siulan peminat dengan kemunculan pemiliknya, Kangen Band di Malaysia, tidak lama lagi.
Mereka yang dibarisi anggota asal iaitu Andika Mahesa (vokal), Dodhy (gitar), Tama (rythm), Izzy (keyboard), Bebe (bass), Baim (drum), dan Eren (backing vocal), tidak menolak untuk memberi persembahan ekstra sehingga 20 lagu lagi kepada peminat bergantung permintaan pada malam itu nanti.
Andika Mahesa berkata, mereka sudah cukup bersedia dengan latihan berterusan bagi memberi persembahan terbaik dengan gabungan unik rock, pop, dan balada kepada peminat di Malaysia.
“Pemilihan lagu dibuat bersama pihak penganjur dan penaja rasmi, berdasarkan trending, seperti yang lirik lagu ‘jangan pernah kau sakiti aku lagi’ (Kehilanganmu Berat Bagiku) dan ‘dengarkanlah..’ (Cinta Sampai Mati),” katanya pada sidang media di Publika, di sini, malam tadi.
Penganjur yang juga Pengarah Operasi Purosangue Entertainment, Angah Rosdi Azwan Rosli berkata mengejutkan apabila jualan tiket konsert sudah terjual kira-kira lebih 50 peratus sebelum sidang media itu diadakan.
Katanya, konsert Kangen Band juga mendapat kerjasama pihak Suria.fm sebagai stesen radio rasmi konsert berkenaan nanti.
Untuk rekod, Kangen Band mula aktif dalam kancah muzik sejak tahun 2006.
Band berasal dari Lampung ini melahirkan album pertama mereka, Tentang Aku, Kau & Dia 2007 dan menjadi hit, selain ‘Pujaan Hati’.
Harga tiket mula dijual pada harga dari RM 255, dengan harga bergantung kepada tempat duduk.
Untuk maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi Purosangue https://purosangue.live