KUALA NERUS: Kurang keyakinan dan beraksi di bawah tekanan menjadi punca kekalahan skuad Penyu di tangan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam tadi.
Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner berkata, beliau agak kecewa dengan persembahan anak buahnya yang kelihatan kurang bertenaga dan tidak mampu menyerap tekanan ketika beraksi di hadapan hampir 30,000 penyokong sendiri yang mengharapkan kemenangan.
Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, prestasi tersebut jauh berbeza jika dibandingkan dengan corak permainan yang dipamerkan ketika anak buahnya menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) tempoh hari.
“Pasukan saya dalam beberapa ketika dilihat, mereka bermain di bawah tekanan… tidak mempunyai keberanian. Bila saya bandingkan dengan perlawanan lepas menentang JDT, kami beraksi dengan lebih baik dengan bertenaga… dengan lebih yakin.
“Saya rasa mungkin kerana perlawanan lepas kami tidak perlu menang tetapi hari ini kami perlu menang. Kami tidak bermain dengan baik seperti beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya selepas perlawanan separuh akhir Piala FA menentang KL City FC di SSMZA malam tadi.
TFC gagal mara ke peringkat akhir Piala FA selepas tewas 2-4 di tangan skuad The City Boys dalam penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan sehingga ke masa tambahan.
Selain itu Steinbruckner turut melahirkan rasa kesal dengan sikap beberapa pemain yang enggan mengambil tanggungjawab menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan penting.
Menurut beliau sebagai pemain profesional, mereka perlu memiliki lebih keyakinan dan kepercayaan pada diri untuk menggalas tanggungjawab terhadap pasukan dalam apa jua keadaan.
“Saya agak marah kerana beberapa pemain saya apabila diminta buat sepakan penalti ramai daripada mereka yang enggan… takut.
“Saya sendiri tanya Jordan (Jordan Mintah), dia mengelak. Saya tanya Faiz Nasir, (dia) juga tidak mahu. Saya tanya Hakimi (Hakimi Mohammad), dia yang mempunyai sepakan yang bagus juga tidak mahu. Stadium penuh juga adalah satu tekanan,” katanya yang jelas hampa. – BERNAMA