WARSAW: Latvia pada Ahad memberi amaran kemungkinan berlaku perkembangan yang tidak diduga di rantau ini, susulan pemberontakan bersenjata kumpulan separa tentera Wagner di Rusia.
Meskipun pemberontakan itu urusan dalaman Rusia, jurucakap Kementerian Luar Latvia, Diana Eglite berkata, negara ini akan tetap berwaspada terhadap situasi yang tidak dijangka itu mungkin berulang.
Latvia turut menyediakan sokongan yang mungkin diperlukan Ukraine terhadap pencerobohan Rusia, tambahnya.
Wagner menuduh Tentera Rusia menyerang pejuangnya pada Jumaat dan kumpulan itu kemudian menyeberang dari Ukraine menuju ke bandar Rusia Rostov-on-Don.
Sebagai respons terhadap situasi itu, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan di Rusia memulakan kes jenayah terhadap Wagner kerana “pemberontakan bersenjata”. Presiden Rusia Vladimir Putin menyifatkan kebangkitan Wagner sebagai “pengkhianatan”.
Ketua Wagner, Yevgeny Prigozhin berkata, pejuangnya akan meneruskan perjalanan ke Moscow, mendorong Kremlin untuk memperketat langkah-langkah keselamatan di pelbagai wilayah di negara itu.
Prigozhin kemudian mendakwa anggotanya memutuskan untuk berpatah balik ketika berada kira-kira 200 kilometer dari Moscow untuk mengelakkan pertumpahan darah.
Sementara itu, Presiden Belarus Alexander Lukashenko berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan persetujuan Putin dan Prigozhin menerima perjanjian bagi meredakan ketegangan. – BERNAMA- AGENSI ANADOLU