NEW YORK: Rakyat Kanada tidak lagi dapat mengakses kandungan berita di Facebook dan Instagram, menurut syarikat induk Meta pada Khamis, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Meta membuat pengumuman itu susulan Parlimen Kanada meluluskan Rang Undang-Undang C-18, Akta Berita Dalam Talian, yang memaksa gergasi teknologi membayar kandungan berita kepada syarikat media.
“Kami telah berulang kali berkongsi bahawa demi mematuhi Rang Undang-Undang C-18… kandungan daripada penyedia berita, termasuk penerbit berita dan penyiar tidak lagi tersedia di platform kami di Kanada,” menurut kenyataan Meta.
Meta menegaskan bahawa ketersediaan berita di Facebook dan Instagram akan ditamatkan untuk semua pengguna di Kanada sebelum rang undang-undang itu dikuat kuasa.
“Kami mahu memberi jaminan kepada berjuta-juta rakyat Kanada di platform kami bahawa mereka akan sentiasa dapat berhubung dengan rakan dan keluarga, mengembangkan perniagaan mereka dan menyokong komuniti setempat mereka,” menurut kenyataan itu.
Akta itu dijangka berkuat kuasa di Kanada dalam tempoh enam bulan.
Menteri Warisan Kanada, Pablo Rodriguez berkata kebebasan media adalah asas kepada demokrasi.
“Penyedia berita di seluruh negara kini boleh berunding secara adil untuk mendapatkan pampasan apabila kerja mereka dipaparkan di platform digital terbesar.
“Ia demi memastikan syarikat berita tempatan walau sekecil mana, boleh mendapat manfaat melalui undang-undang ini dan menerima pampasan yang adil untuk kerja mereka,” katanya. – BERNAMA