HomeGlobalRestoran Salt Bae dah tak laku?

Restoran Salt Bae dah tak laku?

 

LONDON: Cawangan restoran milik cef selebriti, Salt Bae di New York dilaporkan akan ditutup dalam masa terdekat.

Lapor Daily Mail, restoran Salt Bae Burger New York yang terletak berhampiran Union Square Park itu dibuka sebulan sebelum pandemik COVID-19 bermula.

Restoran terbabit turut menerima kritikan teruk kerana hiasan dalamannya kurang menyenangkan dan harga makanan yang dihidangkan terlalu mahal.

Malah, restoran berkenaan turut tersenarai antara restoran terburuk di New York City.

Meskipun papan tanda di pintu menyatakan restoran tersebut berpindah ke lokasi baharu, jurucakapnya mendedahkan, semua menu Salt Bae Burger New York sebenarnya hanya akan dihidangkan di restoran stik sedia ada milik jenama itu dan bukannya di premis lain.

Berikutan penutupan restoran di New York, persoalan mula timbul dalam kalangan orang ramai sama ada cawangan Salt Bae di London, Nurs-Et akan menerima nasib yang sama.

Perkara itu susulan, Nurs-Et kini dilihat kerap mendapat ulasan buruk di laman TripAdvisor, sekaligus meletakkannya di tempat ke-20,491 daripada 23,811 restoran di seluruh London.

Untuk rekod, Salt Bae atau nama sebenarnya, Nusret Gökçe berasal dari Turkiye.

Salt Bae mula tular di media sosial sejak tahun 2017 dengan gaya menabur garam uniknya dan kini sudah membuka restoran stik di lebih 20 lokasi di seluruh dunia serta mempunyai lebih 38 juta pengikut.

Author

Pilihan Editor