WASHINGTON: Suruhanjaya Sekuriti dan Pertukaran Amerika Syarikat (SEC) pada Isnin mengambil tindakan undang-undang terhadap platform pertukaran kriptowang terbesar di dunia, Binance, lapor agensi berita Jerman dpa.
SEC yang berpusat di Washington mendakwa Binance melakukan transaksi kewangan secara haram dan menyediakan perkhidmatan tanpa kebenaran, menuduh pengasas bersama dan ketua eksekutif Binance, Changpeng Zhao melakukan penipuan dan konflik kepentingan, antara lain.
“Menerusi 13 pertuduhan, kami mendakwa bahawa Zhao dan entiti Binance terlibat dalam jaringan penipuan yang meluas, konflik kepentingan, kekurangan pendedahan, dan mengelak undang-undang,” kata pengerusi SEC, Gary Gensler, sambil menambah bahawa pelabur telah diperdaya mengenai kawalan risiko dan jumlah dagangan.
“Kami mendakwa bahawa Zhao dan entiti Binance bukan sahaja mengetahui peraturan yang digunakan, tetapi dengan sengaja memilih untuk mengelakkannya dan meletakkan pelanggan dan pelabur mereka dalam risiko,” kata pengarah bahagian penguatkuasaan SEC, Gurbir Grewal.
Binance dan Zhao bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapat jawapan balas.
Bitcoin, Ether, dan kriptowang lain mengalami penyusutan ketara selepas pengumuman itu.
Pihak berkuasa AS telah menyiasat syarikat ini selama beberapa tahun.
Pada Mac, CFTC telah mengenakan tindakan undang-undang terhadap Binance atas pelanggaran peraturan di pasaran AS. – BERNAMA-dpa