PRISTINA: Sembilan wartawan diserang oleh penyerang bertopeng di sekitar Dewan Bandaraya di Leposavic, utara Kosovo pada Jumaat lalu.
Pertubuhan Wartawan Kosovo (AGK) berkongsi rakaman mengenai petugas media yang dilempar dengan batu dan diserang secara fizikal oleh penyerang bertopeng.
Perdana Menteri, Albin Kurti berkongsi rakaman itu di Twitter sambil berkata “Seorang lagi wartawan diserang secara kejam semasa membuat liputan mengenai perkembangan di utara hari ini.
“Serangan fizikal terhadap mereka adalah tidak boleh diterima dan harus dikecam oleh semua pihak,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataannya.
Ketegangan meningkat di Kosovo selepas pemilihan datuk bandar etnik Albania di empat daerah di utara negara itu pada April.
Albania merupakan kumpulan etnik utama di Kosovo, tetapi Serbia mendominasi kawasan utara, berhampiran sempadan dengan Serbia.
Sekurang-kurangnya 30 askar pengaman Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) KFOR cedera pada 29 Mei ketika protes dan cubaan menghalang seorang datuk bandar mengangkat sumpah jawatan.
Dalam kejadian itu, lebih 53 orang awam turut cedera akibat terkena gas pemedih mata.
Serbia tidak mengiktiraf kemerdekaan Kosovo yang diisytiharkan pada 2008. – BERNAMA