STOCKHOLM: Spotify gergasi penstriman muzik Sweden akan mengurangkan kira-kira 200 pekerja dari bahagian podcast miliknya, menurut syarikat itu itu pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).
“Keputusan yang sukar tetapi perlu bagi melaksanakan penjajaran semula yang strategik” yang akan menyaksikan pengurangan dua peratus tenaga kerja global Spotify, kata ketua bahagian podcast, Sahar Elhabashi dalam satu kenyataan.
“Keputusan ini bukan sesuatu yang kami ambil mudah. Saya ingin menyampaikan penghargaan kepada mereka di bahagian siaran podcast (podcasting) dan Spotify yang akan diberhentikan.”
Spotify adalah platform podcast audio yang paling banyak digunakan di kebanyakan negara dan penerbit utama di Amerika Syarikat, kata Elhabashi.
“Sejak kami beroperasi, lebih setengah bilion orang mendengar podcast di Spotify dan penggunaan telah meningkat lebih daripada 1,400 peratus.”
Kandungan podcast telah meningkat daripada 200,000 tajuk kepada lebih lima juta di Spotify sejak 2019, katanya.
“Selain menyemarakkan revolusi untuk medium itu, kumpulan besar pencipta dan pendengar ini juga telah banyak mengajar kami mengenai podcasting hari ini dan arah tuju masa depannya,” kata beliau.
Elhabashi berkata, bahagian podcast akan mengalami perubahan, termasuk menggabungkan rangkaian Parcast dan Gimlet ke dalam satu operasi Spotify Studios bagi menjana kewangan dan menambah bilangan pencipta. – BERNAMA-dpa