HomeSukanStadium Sultan Ibrahim dipilih sebagai venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023

Stadium Sultan Ibrahim dipilih sebagai venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023

MALAYSIAN Football League (MFL) hari ini mengesahkan Perlawanan Akhir Piala FA 2023 akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Dalam kenyataan dikeluarkan MFL, venue itu dipilih kerana hanya menerima bidaan daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menjadikan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023 selepas proses bidaan ditutup pada 24 Mei lalu.  

Sebelum ini, MFl telah menetapkan bahawa pemilihan venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023 akan dibuat menerusi bidaan terbuka kepada semua kelab Liga Malaysia 2023 bermula 19 Mei 2023.

Pemilihan venue itu turut mengambil kira perkembangan semasa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang tidak dapat digunakan bagi Perlawanan Akhir Piala FA 2023 yang bakal dijadualkan berlangsung pada 22 Julai 2023.

“SNBJ masih dalam proses penambahbaikan sehingga Oktober jadi MFL tidak dapat menggunakan stadium itu bagi final Piala FA kali ini.

“Walaupun telah dipertimbangkan, MFL juga tidak dapat menangguhkan perlawanan itu memandangkan kekangan kalendar pertandingan selepas Oktober yang padat dalam tempoh itu dengan pusingan akhir perlawanan Liga Super, permulaan kedua-dua Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup 2023 dan juga terdapat tarikh-tarikh penting melibatkan tugasan antarabangsa pasukan kebangsaan (FIFA days), pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC yang bermula September hingga Disember depan,” jelas MFL.

 

Author

Pilihan Editor