KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya merangkul gelaran Jelajah Dunia kedua selepas dinobatkan juara Terbuka Taipei 2023 hari ini.
Pasangan pilihan keempat itu menafikan peluang gandingan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min untuk merangkul gelaran Super 300 di laman sendiri, 21-12, 21-8, dalam perlawanan akhir yang didominasi sepenuhnya oleh gandingan negara yang berlangsung selama 30 minit di Tian-mu Arena, University of Taipei.
Beberapa kesilapan yang dilakukan pasangan tuan rumah memberi kelebihan buat Tang Jie-Ee Wei untuk mendahului dengan lima mata pada 11-6 dan terus mengekalkan momentum cemerlang mereka untuk menang set pertama, 21-12.
Pasangan nombor 19 dunia itu mempamerkan aksi garang di awal permainan set kedua untuk mendahului lawan Hsiang Chieh-Xiao Min 5-0, dengan mempamerkan corak serangan yang menakjubkan membuatkan pasangan ranking ke-50 dunia itu hilang arah, menyaksikan gandingan negara mengesahkan kejuaraan, 21-8.
Tang Jie-Ee Wei, yang bergandingan akhir tahun lepas, telah membuktikan komitmen mereka apabila dalam tempoh hampir dua bulan berjaya merasai kejayaan pertama merangkul gelaran Cabaran Antarabangsa Iran 2023, menewaskan rakan senegara Hoo Pang Rong-Teoh Mei Xing 21-19, 21-15, awal Februari lepas.
Pasangan negara itu kemudian merangkul kejuaraan sulung siri Jelajah Dunia Kejohanan Master Orleans 2023 di France selepas menumbangkan satu lagi pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin, 21-19, 21-17, April lepas.
Kemenangan hari ini menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mengakhiri kemarau 19 tahun untuk pasangan beregu campuran Malaysia melangkah ke podium selepas Koo Kien Keat-Wong Pei Tty kali terakhir memenanginya pada edisi 2004.
Tang Jie-Ee Wei meraih US$16,590 (RM77,562) susulan kemenangan besar mereka hari ini manakala naib juara Hsiang Chieh-Xiao Min, memperoleh US$7,980 (RM37,308).
Satu lagi pasangan Malaysia yang merupakan pilihan kelima, Man Wei Chong-Tee Kai Wun akan mempertahankan gelaran mereka menentang pilihan kedua, Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan, dalam perlawanan akhir beregu lelaki, yang akan diadakan lewat hari ini. – BERNAMA