PUTRAJAYA: DAP tidak akan meletakkan bekas Setiausaha Publisitinya Tony Pua sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, malah Pua juga tidak ada menyatakan minat mewakili DAP dalam pilihan raya, kata Setiausaha Agung parti itu Anthony Loke.
Katanya, beliau juga hairan kenapa boleh timbul isu Tony Pua akan bertanding dalam pilihan raya.
“Dia (Pua) tiada minat pun (jadi calon), kawasan Parlimen pun dia dah give up, (jadi) tidak timbul soal Tony Pua bertanding,” katanya kepada media selepas merasmikan Seafarer Carnival di sini hari ini.
Ditanya sama ada DAP sudah memuktamadkan nama calon bagi PRN nanti, Loke berkata, perkara itu belum dimuktamadkan sepenuhnya, namun yang pasti Pua tidak akan menjadi calon.
Kenyataan Pua sebelum ini yang menggelar Barisan Nasional sebagai ‘pakatan korup’, menimbulkan situasi kurang senang terhadap rakan gabungan parti Pakatan Harapan (PH), namun Loke semalam berkata, ia dibuat atas kapasiti individu dan menganggap serangan terhadap rakan gabungan utama PH tidak seharusnya dilakukan.
Loke bagaimanapun berkata, Pua masih merupakan penasihat dasar DAP dan hubungan antara mereka masih baik.
“Penasihat Dasar (DAP) itu bukan jawatan rasmi dalam parti, nama pun penasihat. Dalam perlembagaan parti tiada jawatan ini pun, peranannya hanya menasihati (saya) sahaja. Jadi terpulang kepada saya nak dapat nasihat dia atau tidak.
“Saya tak ada masalah dengan ahli-ahli. Cuma kadang-kadang kalau mereka ada keterlanjuran dan sebagainya dari segi kata-kata saya tegurlah. Sebagai Setiausaha Agung saya tegurlah, tak ada masalah,” katanya.
Sementara itu, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) digalakkan untuk menceburi bidang perkapalan kerana bidang itu memberi pendapatan yang agak tinggi dan ada potensi untuk berkembang maju.
“Profesion ini mempunyai daya saing tinggi dan masa depan yang baik, seafarer (pelaut), bukan sahaja untuk kapal tempatan tetapi satu dunia memerlukan seafarer. Bidang perkapalan memerlukan seafarer yang ramai,” katanya menambah bahawa pada masa ini terdapat kira-kira 60,000 pelaut berdaftar di Malaysia. – BERNAMA