BANGKOK: Thailand disenaraikan pada Tahap 2 selama dua tahun berturut-turut dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) 2023.
Laporan TIP yang dikeluarkan pada malam Khamis (15 Jun) menyatakan bahawa kerajaan Thailand tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum dalam menamatkan pemerdagangan tetapi sedang berusaha berbuat demikian.
Usaha itu termasuk meningkatkan bilangan penyiasatan pemerdagangan, pendakwaan dan sabitan dan memulakan siasatan terhadap 35 pegawai yang didakwa bersubahat pada 2022 dan menjatuhkan hukuman penjara ke atas empat pegawai.
Laporan itu menyatakan kerajaan Thailand juga mengenal pasti lebih ramai mangsa pemerdagangan, mula melaksanakan Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) baharu dan melatih pegawai mengenai penggunaannya.
Bagaimanapun, laporan itu menyatakan kerajaan tidak memenuhi piawaian minimum dalam beberapa bidang utama termasuk amalan temu duga yang tidak konsisten dan tidak berkesan dalam pemeriksaan buruh dan temu duga pengenalan mangsa menyebabkan ramai mangsa pemerdagangan tidak dikenal pasti dan, oleh itu tidak dilindungi terutama mereka yang dieksploitasi sebagai buruh paksa.
Selain itu, pihak berkuasa tidak melakukan usaha yang mencukupi untuk melindungi mangsa pemerdagangan yang dieksploitasi dalam kerja paksa operasi penipuan siber di negara jiran, termasuk warga Thailand yang pulang.
Undang-undang kerajaan yang menetapkan mangsa warga asing perlu kekal di tempat perlindungan sepanjang prosiding undang-undang terhadap pemerdagang, telah menghalang ramai mangsa melaporkan eksploitasi mereka atau bersetuju untuk mengambil bahagian sebagai saksi, menjejaskan penguatkuasaan undang-undang dan usaha perlindungan menyeluruh, menyebabkan wujud jurang yang ketara dalam penyediaan perkhidmatan kerajaan kepada mangsa secara berterusan.
“Rasuah dan keterlibatan rasmi terus menghalang usaha antipemerdagangan manusia,” menurut laporan itu.
Pada 2022, kerajaan Thailand memperuntukkan kira-kira 441.7 juta baht untuk pencegahan dan penindasan dalam belanjawan pemerdagangan berbanding dengan kira-kira 4.46 juta baht ($129,200) pada 2021.
Kerajaan mengenal pasti 444 mangsa, termasuk 165 mangsa lelaki dan kanak-kanak lelaki dan 279 mangsa wanita dan kanak-kanak perempuan, pemerdagangan pada 2022, berbanding kira-kira 424 mangsa yang dikenal pasti pada 2021.
Sementara itu, Kementerian Luar berkata, laporan TIP itu mencerminkan usaha dan kemajuan kukuh kerajaan dan semua pihak berkepentingan dalam mencegah dan memerangi pemerdagangan manusia, termasuk meningkatkan jumlah penyiasatan pemerdagangan, pendakwaan, sabitan dan pengenalan mangsa, pelaksanaan NRM, pendakwaan dan hukuman terhadap pegawai yang terlibat selain peningkatan kapasiti untuk pegawai yang berkaitan.
“Matlamat akhir adalah untuk membasmi semua bentuk pemerdagangan manusia serta melindungi dan mencegah rakyat Thailand dan warga asing di negara ini daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia, selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan kemanusiaan yang sentiasa dipatuhi oleh Thailand,” menurut laporan itu. – BERNAMA