NEW DELHI: Beratus-ratus orang, terutama wanita, bertempur dengan anggota keselamatan termasuk polis di Delhi pada Khamis ketika pegawai kerajaan cuba merobohkan sebahagian kuil di kawasan Mandawali, lapor Xinhua.
Insiden itu mencetuskan perbalahan politik antara kerajaan Delhi dan gabenor, dengan Menteri Kerja Raya, Atishi Marlena mengutuskan surat kepada kerajaan Delhi supaya “menarik balik arahannya” merobohkan 14 tempat keagamaan di ibu negara.
Dua hari lepas, pihak berkuasa tempatan menyerah notis mengenai tindakan untuk merobohkan sebahagian kuil itu kerana bangunan berkenaan menceroboh tanah kerajaan. Ketika skuad perobohan tiba pada pagi Khamis, ratusan orang berkumpul di luar kuil untuk menghalang pegawai kerajaan dan anggota keselamatan melaksanakan tugas itu.
Pertengkaran sengit antara penduduk tempatan dan anggota keselamatan membawa kepada pertempuran yang berakhir dengan penahanan penunjuk perasaan.
Lewat hari yang sama, Atishi mengutus surat kepada Leftenan Gabenor Vinai Kumar Saxena mengatakan tempat keagamaan tidak sepatutnya diroboh. – BERNAMA