KUALA LUMPUR: Aplikasi Tiktok bukan sekadar platform menyampaikan maklumat, hiburan atau perniagaan, tetapi untuk membantu golongan orang kelainan upaya (OKU) mengubah hidup lebih baik.
Pengasas usahawan produk wangian ilham, Bawwu Inspired Perfume, Shakir Zakaria menjadikan aplikasi berkenaan sebagai kelebihan untuk dia menjalankan kempen membangunkan usahawan OKU.
Ini kerana, Shakir, 34, yang juga seorang OKU kaki atau kelumpuhan kedua belah kaki, Spinal Cord Injury akibat kemalangan jalan raya sejak tahun 2007.
Menerusi beberapa hantaran di akaunnya, shakirzakaria6566, dia meminta OKU yang mahu berniaga supaya menghubunginya dengan menekan butang di link bio, bagi mendapatkan penjelasan maklumat terlebih dahulu.
“Saya mencari seramai mungkin OKU untuk mempelawa menjadi (usahawan) produk minyak wangi saya.
“Boleh Whatsapp saya dulu, kita nak tahu specified (kategori) OKU macam mana, sebab apa dia tak boleh pergi jauh,” kata anak jati Pulau Pinang itu.
Hanya tiga syarat OKU yang berminat berniaga dengannya iaitu, OKU fizikal, mempunyai telefon bimbit dan akses internet.