CYBERJAYA: Siapa sahaja yang tidak naik berang apabila barang yang dibeli secara dalam talian sampai di rumah, tidak sama dengan kriteria yang dipaparkan dalam jualan.
Itulah yang dialami oleh seorang pengguna yang membeli tudung bawal batu menerusi jualan di TikTok Live.
Menerusi perkongsian di Facebook Aini Noraini, wanita berkenaan berasa hampa dengan sikap peniaga yang ‘acuh tak acuh’ ketika berniaga.
“Beli tudung bawal batu lima helai di TikTok live. Bila sampai, tudung bawal takde batu. Bukan apa yang di order. Harga pulak berbeza.
“Chat dengan seller kat chat TikTok, seller bagitahu nak pos semula tudung bawal batu.
“Seminggu tunggu, barang tak sampai jugak. Mintak seller nombor tracking, macam-macam alasan,” luahnya di Facebook baru-baru ini.
Dek kerana terlalu geram dengan sikap peniaga, Aini bertindak membuat aduan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) supaya isu berkenaan ketidakjujuran peniaga berniaga ini dapat diselesaikan.
“Pantas tindakan KPDN. Bila maklumat lengkap, esoknya KPDN terus call tanya cerita semua. KPDN buka kertas siasatan dan call seller untuk selesaikan masalah segera sebelum kena saman.
“Seller dah gelabah kena call dengan pegawai KPDN, terus dia pos semula semua tudung batu tu. Siap dengan nombor tracking seller bagi.
“Pegawai KPDN ajar, kalau seller tak pos semula tudung tu, bagitau je KPDN akan proceed dengan saman terus seller call mintak maaf, dia kata parcel hilang dan macam-macam la alasan dia,” kongsinya.
Dalam pada itu, Aini turut mengingatkan para pengguna di luar sana supaya mengambil langkah sama dengan membuat aduan kepada KPDN sekiranya peniaga bertindak sedemikian.
“Siapa yang ada masalah dengan seller dan tak jumpa jalan penyelesaian selepas perbincangan dibuat, boleh terus buat aduan di link ini https://eaduan.kpdn.gov.my/ ,” tulisnya.