CYBERJAYA: Baru-baru ini, ramai yang terpengaruh dengan filter ‘Aged’ di TikTok yang memaparkan andaian wajah tua seseorang di masa akan datang.
Rata-rata warga net terhibur menggunakan filter tersebut kerana ada yang kelihatan mirip seakan nenek dan datuk mereka.
Trend itu turut mendapat tempat dalam kalangan selebriti termasuklah pelakon dan pengacara, Amelia Henderson yang memuatnaik video di TikTok menggunakan filter berkenaan.
Namun, menjadi perhatian ramai apabila wajah Amelia ketika menggunakan filter itu kelihatan sangat cantik seolah-olah tidak dimamah usia.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warga maya memuji kejelitaan yang dimiliki gadis kacukan India, Sri Lanka dan Scotland itu.
“Awet muda sampai tua lawo dia tu,” komen netizen.
“Looks very British Royalty gitu,” puji seorang lagi warga maya.
“Will be the hottest granny ig,” kata seorang pengguna TikTok.
Setakat ini, lebih 8 juta pengguna di TikTok memuat naik video wajah mereka menggunakan filter ‘Aged’ itu.
Ada juga yang sebak saat menggunakan filter terbabit kerana wajah mereka ketika tua membuatkan mereka terimbau kenangan bersama ibu atau bapa.
Malah, sebilangan warga maya beranggapan filter ‘Aged’ itu mengubat rindu pada mereka yang tidak lagi mempunyai ibu atau bapa di dunia ini.