SEEKOR anjing Portugis, Bobi berjaya mencatat Rekod Dunia Guinness (GWR) apabila dinobatkan sebagai ‘anjing tertua yang pernah ada di muka bumi’.
Bobi, 31, merupakan baka tulen Rafeiro do Alentejo, iaitu baka anjing pengawal ternakan dengan purata jangka hayat hanya 12 hingga 14 tahun.
Bagaimanapun, haiwan itu sudah hidup lebih daripada dua kali ganda berbanding jangka hidup purata.
Dengan tarikh lahir pada 11 Mei 1992, GWR menerusi kenyataan pada Khamis menyifatkannya sebagai anjing tertua yang pernah hidup setakat ini.
“Ia sudah menjalani seluruh hidup bersama pemiliknya di perkampungan luar bandar Conqueiros, di Leiria, Portugal.
“Anjing tersebut sudah memecahkan rekod anjing tertua, yang mana anjing lembu Australia memegang rekod itu apabila berusia 29 tahun 5 bulan pada tahun 1910 hingga 1939,” kata GWS.
Sementara itu, pemiliknya, Leonel Costa berkata, salah satu punca Bobi dapat memiliki umur panjang adalah disebabkan ia menjalani seluruh hidupnya jauh dari bandar dengan persekitaran tenang dan damai.
Katanya, Bobi tidak pernah diikat dan sentiasa bebas berjalan ke hutan dan ladang berdekatan.