CYBERJAYA: Pelakon, Bell Ngasri mengotakan janji dengan membelanjakan peminat yang bersusah payah mengundinya sehingga dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35), baru-baru ini.
Bell menerusi hantaran di Instagram memaklumkan, seramai 100 peminat bertuah yang datang ke Pak Mat Western Cafe akan menerima satu set hidangan bebola daging percuma.
“Bell Ngasri tak auta geng, dia buat betul-betul kenduri.
“Harini seluruh cawangan Pak Mat, 100 set meatball percuma,” tulisnya
Sebelum ini, pelakon yang cukup dikenali menerusi karakter Barkoba menerusi telefilem 16 Puasa itu berjanji untuk belanja pengundi makan tengah hari di bulan Ramadan sekiranya menang trofi Bintang Paling Popular.
Bell bagaimanapun memohon maaf kerana tidak dapatkan menunaikan manifesto yang ‘dijanjikan’ sebelum ini selepas dinobat Bintang Paling Popular ABP35 Jumaat lalu.
Dalam pada itu, Bell turut menyatakan tuduhan yang dia kononnya bersikap riak apabila mengusung trofi kemenangannya ke mana sahaja dia pergi.
“Bab tunjuk piala tu, bukan riak, tapi 37 tahun saya tak pernah pegang piala ABPBH ni apa salah saya kongsi dengan masyarakat yang lalu lalang,” jelasnya.