HomeSukanBenzina, wanita pertama berhijab di Piala Dunia Wanita

Benzina, wanita pertama berhijab di Piala Dunia Wanita

PEMAIN bola sepak wanita Mahgribi, Nouhaila Benzina, 25, mencipta sejarah baharu dalam arena bola sepak apabila menjadi pemain berhijab pertama beraksi di Piala Dunia Wanita.

Benzina yang merupakan pertahanan Mahgribi itu mewakili pasukan ASFAR (Association’s Sports of Forces Armed Royal) secara profesional di negaranya, lapor ESPN.

Pemakaian tudung dikenakan Benzina ketika beraksi itu sejajar dengan terhapusnya larangan FIFA sebelum ini yang tidak membenarkan pemain menutup bahagian kepala atas faktor kesihatan dan keselamatan.

Kapten Maghribi, Ghizlane Chebbak berkata, mereka bukan sahaja memburu keputusan di kejohanan kali ini, tetapi juga mahu budaya mereka menyinar.

“Kami berbangga menjadi negara Arab pertama beraksi di Piala Dunia Wanita dan kami memikul tanggungjawab untuk memberikan gambaran baik, menunjukkan apa yang pasukan Maghrini mampu capai,” katanya.

Sementara itu, pengasas Muslim Women in Sports Network, Assmaah Helal berkata, pemakaian hijab yang dipaparkan Benzina akan memberi inspirasi terhadap wanita lain dalam penglibatan bidang sukan.

“Saya tidak ragu bahawa semakin ramai wanita dan gadis Islam akan melihat Benzina dan benar-benar mendapat inspirasi — bukan hanya pemain, tetapi saya rasa pembuat keputusan, jurulatih, sukan lain juga akan terkesan,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor