HomeGlobalTuah badan peluk Islam! Wanita dapat wang, sebidang tanah

Tuah badan peluk Islam! Wanita dapat wang, sebidang tanah

 

UMPAMA mendapat durian runtuh! Demikian perumpamaan sesuai digambarkan buat seorang wanita warga India apabila menerima sejumlah wang dan sebidang tanah sebagai hadiah kerana memeluk agama Islam.

Anju yang kini menggunakan nama Fatima pada mulanya mengembara ke sebuah kampung terpencil di Pakistan bersama-sama dua anaknya.

Pengembaraan wanita berusia 34 tahun itu dilakukan demi melangsungkan perkahwinan dengan rakan yang dikenali di laman Facebook sejak 2019.

Fatima dan Nasrullah, 29, sah menjadi suami isteri pada 25 Julai lalu.

Sabtu lalu, seorang ketua pegawai eksekutif syarikat hartanah, Mohsin Khan Abbasi melawat Fatima dan Nasrullah di kediaman mereka di Dir Atas Khyber Pakhtunkhwa.

Mohsin kemudian menyerahkan cek kepada Fatima, yang mana jumlahnya tidak diketahui, selain dokumen tanah di hadapan suaminya bertujuan membuat wanita itu berasa selesa di Pakistan.

Mohsin berkata, dia menghadiahkan wang tunai dan plot 10 marla (kira-kira 2,722 kaki persegi) untuk membantu Fatima memulakan kehidupan baharunya selepas memeluk Islam.

“Wanita itu mengembara dari India ke Pakistan sebelum memeluk Islam untuk memulakan kehidupan perkahwinan baharunya. Kami datang untuk mengalu-alukannya memeluk Islam dan mengucapkan tahniah atas perkahwinannya,” katanya seperti dilapor portal Telegraph India.

Fatima dilahirkan di kampung Kailor di Uttar Pradesh dan tinggal di daerah Alwar, Rajasthan.

Wanita itu mengembara dari India ke Pakistan secara sah menerusi sempadan Wagah-Attari.

Dia sudah pun diberi visa untuk tempoh 30 hari dan akan tamat pada 20 Ogos ini.

Sebelum ini, Fatima berkahwin dengan individu dikenali sebagai Arvind yang tinggal di Rajasthan.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan berusia 15 tahun dan seorang anak lelaki berusia enam tahun.

Author

Pilihan Editor