CYBERJAYA: Tanda-tanya orang ramai berhubung keadaan mata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang lebam dan bengkak terjawab, apabila anak sulungnya tampil mendedahkan perkara sebenar.
Menerusi hantaran di laman Instagram, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menjelaskan bahawa, bapanya yang juga Presiden Umno ketika ini sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan mata.
Tambah beliau di ruangan komen, bapanya terpaksa melakukan pembedahan berikutan saraf pada bahagian mata tidak berfungsi.
“Iya… saraf mata dia tak berfungsi. Itu mata dia jadi (kelihatan) jatuh.
“Buat muka untuk apa, bukan ‘superstar’ pun. Kalau sampai mudarat sebab saraf mata kena la buat sesuatu.
“Tetapi biasa lah orang lagi seronok fitnah daripada tahu perkara sebenar,” kata Nurulhidayah membalas pertanyaan salah seorang pengikut laman sosialnya, pada Selasa.
Pada masa sama, Nurulhidayah memaklumkan, sebagai ahli politik dan menggalas tanggungjawab besar dalam pentadbiran kerajaan, bapanya tidak mengambil cuti lama selepas pembedahan.
Pada 22 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan Ahmad Zahid mengambil cuti selama dua minggu.
Ahmad Zahid membuat penampilan di Biro Penyiasatan Persekutuan Kebangsaan Akademi Bersekutu (FBINAA) di Kuala Lumpur pada 26 Jun, dilihat memakai sepasang kaca mata hitam.
Namun, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu dilihat menghadiri sebuah acara beberapa hari kemudian tanpa kaca mata hitam, sementara warganet di media sosial mula menyedari keadaan matanya yang bengkak dan lebam.