HomeBeritaFilem Barbie lonjakkan sisa buangan plastik?

Filem Barbie lonjakkan sisa buangan plastik?

FILEM Barbie yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia nyata membuatkan jenama patung plastik kesukaan kanak-kanak itu kembali melonjak.

Bagaimanapun, sambutan filem bertemakan warna jambu itu dilihat memberi kebimbangan terhadap alam sekitar khususnya peningkatan sisa plastik.

Menurut Felo Industri Kanan di Universiti RMIT, Melbourne, Australia, Alan Pears, ketika filem Barbie keluar minggu pada minggu lalu, ia akan mencetuskan gelombang pembelian anak patung itu yang kini telah dijual melebihi 60 juta setiap tahun.

“Berdasarkan laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) pada 2014, mainan adalah barangan pengguna yang paling intensif plastik di dunia dan tidak semuanya boleh dikitar semula.

“Mainan plastik diperbuat daripada campuran kompleks plastik, logam dan elektronik.

“Apabila kanak-kanak bosan, mainan ini sering berakhir di tapak pelupusan sampah,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Berdasarkan kajian penyelidik Amerika Syarikat (AS), setiap anak patung 182 gram (g) boleh menyebabkan kira-kira 660 g pelepasan karbon, termasuk pengeluaran plastik, pembuatan dan pengangkutan.

“Mengikut pengiraan saya, pelepasan secara purata merentas semua jenis mainan itu adalah kira-kira 4.5 kilogram (kg).

“Pada tahap ini ia agak besar. Di AS, dianggarkan pelepasan daripada industri plastik akan mengatasi pengeluaran arang batu dalam tempoh tujuh tahun.

“Jadi persoalannya, bagaimana kita boleh mengurangkan pelepasan tersebut kepada sifar secepat mungkin?

“Ini bagi memastikan generasi kini mempunyai iklim yang boleh didiami tanpa mengubah norma hidup,” kata Pears.

Sehingga kini, terdapat sedikit tumpuan untuk menjadikan industri mainan lebih mampan.

Jelas Pears, pengeluar mainan harus menggunakan bahan berkarbon rendah dan memberi tumpuan kepada mainan mudah dikitar semula.

Mainan perlulah seringan mungkin, untuk meminimumkan pelepasan karbon industri plastik.

Sementara itu, mainan berkuasa bateri harus dielakkan kerana ia boleh menggandakan kesan iklim dan mengubah sisa plastik menjadi masalah sisa elektronik.

“Usaha mengurangkan sisa buangan setakat ini telah dilaksanakan oleh pembuat mainan dengan mengurangkan plastik dalam bungkusan mereka.

“Ini memandangkan pembungkusan serta-merta akan menjadi sisa.

“Sebagai langkah yang dialu-alukan, pembuat Barbie, Mattel melancarkan skim kitar semula mereka pada 2021.

“Ini membolehkan pembeli menghantar semula mainan lama untuk ditukar kepada baharu,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor