KUALA LUMPUR: Filem seram pertama yang dinobatkan sebagai pemenang Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 (FFM7), Rahsia, bakal tampil semula dalam versi reboot di pawagam seluruh negara bermula 10 Ogos ini.
Rahsia yang menjadi filem seram ikonik arahan Othman Hafsham kali ini tampil dengan elemen segar menerusi filem reboot Rahsia sentuhan Shamyl Othman yang merupakan legasi kepada Othman.
Penerbit Eksekutif Rahsia merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Rahsia merupakan filem seram tempatan yang pertama dikembalikan semula dalam versi reboot.
“Kami memilih Rahsia kerana filem ini adalah sebuah karya ‘cult classic’ yang mempunyai pengikutnya tersendiri.
“Mungkin generasi baru tidak begitu mengetahui tentang filem Rahsia 1987, jadi kami berharap kehadiran versi reboot ini dapat mencipta satu lagi sejarah baru,” katanya dalam sidang media filem Rahsia, di sini, semalam.
Rahsia bakal menampilkan barisan artis terkenal negara iaitu Nabila Huda dan Fikry Ibrahim selaku watak utama serta barisan pelakon lain seperti Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah dan banyak lagi.
“Rahsia membawa tagline ‘Dia Takkan Pergi’ manakala lagu bertajuk Alunan Lara adalah lagu tema rasmi Rahsia yang dinyanyikan oleh Njwa (Najwa Mahiadin),” ujarnya.
Tambah Raja Jastina, orang ramai boleh menjadi penonton terawal menyaksikan filem Rahsia melalui ‘sneak preview’ mulai 9 Ogos.
Rahsia, membongkar sejarah silam sebuah keluarga. Ramlah lakonan Nabila Huda pulang bercuti ke rumah ayahnya bersama suami, Hamdan dan anak-anak, Marina dan Saiful. Keadaan menjadi keruh apabila Saiful lesap secara tiba-tiba sewaktu mereka berkelah di tepi pantai.
Sementara menunggu pencarian Hamdan, Ramlah diganggu oleh kelibat yang menggerunkan. Walaupun tiada bukti kukuh, Ramlah bertekad untuk berdepan dengan puaka tersebut sekali gus merungkai rahsia disebalik kehilangan anaknya itu.