GELOMBANG haba yang melanda hemisfera utara dijangka terus meningkat sekali gus membawa kepada peningkatan risiko serangan jantung dan kematian.
Amaran dikeluarkan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Selasa.
WMO memberi amaran bahawa gelombang haba itu berada dalam fasa awalnya, berkata, ia menjangkakan suhu di Amerika Utara, Asia, Afrika Utara dan Mediterranean melebihi 40 Celsius untuk beberapa minggu.
Tambah WMO, rekod baharu gelombang haba mungkin berlaku dalam beberapa hari akan datang.
Paras tertinggi Eropah sebelum ini ialah 48.8 darjah Celsius yang dicapai di Sicily pada Ogos 2021 dan rekod global ialah 56.7 Celsius dari Death Valley di California, Amerika Syarikat (AS) pada Julai 1913.
Sementara itu Persekutuan Palang Merah Antarabangsa berkata bayi, orang tua dan orang yang mempunyai keadaan kesihatan kronik lebih terdedah kepada risiko.
Lebih 60,000 orang Eropah telah mati dalam gelombang panas tahun lalu, menurut pakar, walaupun mempunyai beberapa sistem amaran awal terbaik dunia. – SINAR HARIAN