HomeSukan'Hanya JDT yakin ke final' - Penganalisis ulas isu SSI venue Piala...

‘Hanya JDT yakin ke final’ – Penganalisis ulas isu SSI venue Piala FA

PIALA FA menutup tirainya pada Sabtu apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mempertahankan kejuaraan, setelah menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) FC dengan keputusan 2-0.

Di sebalik kemenangan itu, ada segelintir pihak mempertikaikan tentang lokasi perlawanan akhir tersebut yang berlangsung di stadium keramat JDT,  di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor.

 

Pekan Ramli

Tampil mengulas, Datuk Dr Pekan Ramli menganggap bahawa mana-mana pasukan sudah tentu akan mendapat kelebihan sebagai tuan rumah, sekiranya mereka beraksi pada perlawanan final di hadapan penyokong dan stadium sendiri.

Namun, penganalisis bola sepak tanah air itu berkata, tawaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang membuat ‘bidaan’ kepada semua kelab Liga Malaysia untuk menjadi tuan rumah aksi final Piala FA pada Mei lalu kurang mendapat sambutan.

“Mungkin pasukan lain pada waktu itu masih tidak yakin mereka akan ke final.

“Jadi, hanya JDT yang begitu positif atau sangat yakin ke final terus menawarkan diri dan kebetulan mereka pembida tunggal.

“Bagi saya, tindakan mereka sangat relevan. Mereka memang nak sapu semua piala. Apa sahaja kelebihan mereka akan ‘utilise‘ atau pergunakan sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi MEDIA VARIASI.

Terdahulu, MFL mengesahkan, hanya menerima bidaan daripada JDT untuk menjadikan SSI sebagai venue final Piala FA, selepas proses bidaan ditutup pada jam 5 petang, 24 Mei lalu.

MFL sebelum ini menetapkan bahawa, pemilihan venue akan dibuat menerusi bidaan terbuka kepada semua kelab Liga Malaysia 2023 bermula 19 Mei 2023.

MFL turut memaklumkan bahawa pemilihan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur yang tidak boleh digunakan bagi final Piala FA.

Mengulas lanjut, Pekan berkata, SSI adalah stadium berprestij dengan kapasiti yang bersesuaian serta mampu untuk menarik penyokong tuan rumah memenuhi stadium.

“Kalau main di stadium lain mungkin kurang meriah. Ini pun penghormatan kepada JDT sebab tak pernah lagi final Piala FA berlangsung di Johor.

“Cuma, saya harap pada masa depan MFL tetapkan kembali aksi final di SNBJ,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor