CYBERJAYA: Ibu kepada pelakon Tan Sri Michelle Yeoh iaitu Datin Janet Yeoh, 84, berharap anaknya bakal mengadakan majlis resepsi di Malaysia.
Perkara itu susulan dia mengetahui Michelle sah berkahwin dengan pasangannya, Jean Todt, 77, di Geneva, Switzerland, kelmarin.
Meskipun tidak dimaklumkan awal mengenai majlis penyatuan itu, Janet menganggap ia kejutan yang dinanti-nantikan ramai termasuk dirinya kerana tahu betapa Todt cintakan Yeoh.
“Anak saya memang akan sentiasa menelefon tapi dia tidak beritahu pun (berkaitan perkahwinan itu) ketika kami bercakap, dua minggu lalu.
“Mungkin dia hendak beri kejutan kepada saya,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.
Tambah Janet, dia sentiasa memujuk pasangan terbabit supaya menamatkan zaman bujang dan melihat Yeoh berkahwin.
“Todt melamarnya (Michelle) sudah banyak kali. Dia cuma akan ketawa serta mengatakan dirinya seronok setiap kali dilamar. Todt memang sangat cintakan dia,” katanya.
Terdahulu, khabar mengenai perkahwinan Michelle dikongsi bekas pelumba Formula Satu (F1), Felipe Massa yang menjadi antara tetamu hadir pada majlis penyatuan dua sahabatnya itu.
“Selamat berkahwin, Jean Todt dan Michelle Yeoh, sayang kamu,” tulis pelumba kelahiran Brazil itu.