IRAQ memberi amaran kepada Sweden bahawa ia akan memutuskan hubungan diplomatik, sekiranya al-Quran dibakar sekali lagi di negara tersebut.
Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia Al-Sudani dalam satu kenyataan berkata, tindakan membakar kitab suci Islam itu merupakan pelanggaran undang-undang keselamatan.
Pada masa sama beliau berjanji untuk menyediakan perlindungan diperlukan untuk misi diplomatik.
“Sebarang kejadian berulang yang melibatkan pembakaran al-Quran di bumi Sweden akan mengakibatkan hubungan diplomatik diputuskan,” katanya.
Pada Khamis, pihak berkuasa Sweden meluluskan tindakan seorang penganjur yang merancang untuk membakar al-Quran dan bendera Iraq di luar kedutaan Iraq di Stockholm.
Menurut media Sweden, penganjur tersebut dikenali sebagai Salwan Momika, yang juga merupakan pelarian Iraq di Sweden.
Dalam kejadian itu, penunjuk perasaan menendang dan merosakkan sebahagian daripada sebuah buku yang didakwa sebagai al-Quran, namun mereka meninggalkan lokasi sejam selepas melakukan perbuatan itu itu tanpa membakarnya.
Susulan itu, ratusan penunjuk perasaan bertindak menyerbu dan membakar bangunan kedutaan Sweden di Baghdad.
Protes di Baghdad dianjurkan oleh penyokong pemimpin Gerakan Sadrist Iraq, Muqtada Al-Sadr.
Pihak polis melepaskan tembakan meriam air, manakala pasukan keselamatan menggunakan belantan elektrik bagi menyuraikan penunjuk perasaan.
Pada 28 Jun, Salwan Monika membakar senaskhah al-Quran di luar masjid utama Stockholm, ketika umat Islam menyambut hari raya Aidiladha.
Dia dilaporkan sudah mendapat permit daripada pihak berkuasa Sweden berhubung perkara itu.
Kementerian Keselamatan Iran sebelum ini mendedahkan butiran tentang hubungan antara Momika dan perisikan Israel.
Menurut sumber dipercayai, Momika dilahirkan di Iraq pada 1986 dan mula bekerja untuk agensi pengintipan rejim Israel, Mossad pada 2019.
Selepas menetap di Sweden, menurut kementerian itu, Momika terus berkhidmat bersama negara penjajah tersebut.
Kementerian itu turut mengesahkan bahawa tindakan membakar al-Quran sudah dirancang dengan teliti.
Ia bagi mewujudkan gelombang media yang dominan, selain memberi bayangan tentang kekejaman di Israel, terutamanya di kem pelarian Jenin dan Tebing Barat yang diduduki.