TAK kenal maka tak cinta. Itulah ungkapan yang paling sesuai dikaitkan dengan daerah Mersing yang terletak di bahagian timur laut negeri Johor Darul Takzim.
Ramai yang beranggapan Mersing itu cuma sekadar persinggahan untuk menaiki terminal feri ke Pulau Tioman kerana lokasinya yang berada di pinggiran pantai membuatkan ia terkenal sebagai bandar transit pelancongan.
Namun, satu kerugian buat anda jika sudah menjejakkan kaki ke daerah Mersing tapi tidak cuba menerokai kisah dan kehidupan di bandar yang mempunyai sekitar 80,000 penduduk itu.
Baru-baru ini, MEDIA VARIASI berpeluang mengikuti program Jom Balik Kampung Homestay Malaysia @ Mersing anjuran Tourism Malaysia.
Program yang dikendalikan oleh Tourism Malaysia Wilayah Selatan (TMWS) selama tiga hari dua malam itu nyata dilengkapi input yang begitu padat dan menyeronokkan.
Mana tidaknya, setibanya di Mersing sejuk hati melihat suasana redup ditambah pula tiupan angin di pinggiran pantai menjadikan daerah itu tenang dan nyaman.
ASAL USUL NAMA MERSING
Mengikut kajian yang dibuat oleh Sejarawan Johor, Allahyarham Dr. Haji Shaharom Hussain bersama Tuan Haji Kamdi Kamil, Pegawai Sejarah Yayasan Warisan Johor pada tahun 1992, nama Mersing itu berasal daripada sejenis tumbuhan dikenali ‘Mersinga’ atau nama sainstifiknya “Carallia Brachiata” yang banyak tumbuh di sepanjang pantai Mersing.
Tiupan angin daripada Laut Cina Selatan ke pantai Mersing yang mengenai daun-daun pokok tersebut telah menghasilkan bunyi yang gemersik. Akhirnya lama-kelamaan orang-orang Melayu yang merupakan penduduk asal daerah tersebut menamakan kawasan itu sebagai Mersing.
Dari aspek lisan pula, Mersing dinamakan sempena nama seorang Sikh iaitu Amir Singh ataupun Men Singh. Beliau dikatakan telah melarikan diri dari Pahang kerana membawa gundik Sultan Pahang.
PENDUDUK MERSING BERASAL DARI MANA?
Umum mengetahui di Johor popular dengan menu Kacang Pool, namun jika anda bercuti di Mersing, nasi dagang adalah menu utama yang menjadi pilihan sarapan pagi manakala keropok lekor pula menjadi sajian minum petang.
Menurut sumber Majlis Daerah Mersing, penduduk asal Mersing pada zaman dahulu kala berasal dari negeri Terengganu. Ini dibuktikan dengan terdapatnya beberapa kampung yang mengusahakan keropok lekor ikan dan ada juga antara penduduk tempatan yang fasih bertutur dalam telor Terengganu.
Maka, tidak hairanlah jika anda melihat banyak kedai perusahaan keropok lekor dan nasi dagang dibuka di daerah ini.
Selain masyarakat dari Terengganu, Mersing turut mendapat tempat dalam kalangan orang Banjar iaitu salah satu suku bangsa Indonesia yang berhijrah ke Semenanjung Melayu sekitar penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Di Homestay Kampung Air Papan, anda berpeluang mengenali masyarakat Banjar lebih dekat kerana sebilangan daripada penduduk itu masih mengamalkan gaya hidup masyarakat Banjar.
Dalam program Jom Balik Kampung Homestay Malaysia @ Mersing, MEDIA VARIASI turut berpeluang mempelajari cara pembuatan kuih-kuih tradisional Banjar seperti Pupudak, Balungan Hayam dan Wadai Kiping.
Untuk pengetahuan umum, kebanyakan kuih tradisional masyarakat Banjar ini sangat manis kerana mereka beranggapan jika kuih itu tidak manis ia bukanlah dinamakan kuih.
MESMERISING MERSING!
Kejernihan air hingga terlihat permukaan dasar laut dan pasir putih yang halus menjadikan Mersing sebuah destinasi yang wajib diterokai!Berkongsi tentang panorama di Mersing pula, tak dapat disangkalkan bahawa Mersing mempunyai keunikan tersendiri. Salah satu tarikan yang pasti membuatkan pengunjung terpegun adalah kawasan kepulauan di sekitar daerah berkenaan.
Menerusi aktiviti island hopping, anda bakal merasai pengalaman menerokai keindahan pulau-pulau di Mersing. Terdapat 97 pulau di sekitar Mersing dan 13 daripada jumlah itu kini diiktiraf sebagai pulau komersial.
Berikut merupakan lima daripada 13 pulau yang kami jelajahi:
- Pulau Harimau
Sebuah pulau yang dikatakan berbentuk seperti seekor harimau yang sedang baring (boleh lihat menerusi pandangan atas /drone shot). Di sini anda boleh berenang memasuki gua ke dalam kawasan pulau dan kawasan ini sememangnya tidak berpenghuni. - Pulau Babi Hujung / Pulau Hujung
Sebuah pulau yang sesuai dijadikan lokasi untuk bersantai. Pasti ramai yang teruja melihat suasana di pinggiran pantai pulau ini yang dipenuhi pasir putih yang halus ditambah pula air laut yang jernih dan dipenuhi ikan. Tak perlu ke tengah laut pun dah nampak ikan berenang-renang di pinggiran pantai! Kalau nak seronok lagi lakukan aktiviti snorkelling!
- Pulau Rawa
Salah sebuah ‘private island’ yang terkenal di Malaysia dek kerana fasiliti dan keunikannya tersendiri. Untuk pengetahuan, Pulau Rawa dimiliki oleh keluarga Sultan Johor dan di pulau ini terdapat dua buah resort peranginan yang mampu menyediakan fasiliti penginapan kepada pengunjung iaitu Rawa Island Resort dan resort yang lebih kecil Alang’s Rawa. - Pulau Babi Tengah / Pulau Tengah
Di pulau ini pula terdapat sebuah resort dikenali Batu-Batu Resort. Sangat cantik dan selesa untuk dijadikan lokasi percutian khususnya pada mereka yang mahukan privasi.Untuk pengetahuan anda, Batu-Batu Resort adalah resort paling mahal di Johor ye. Harga bilik untuk 1 malam disini bermula RM1,500 ke atas.Menariknya, ada kisah di sebalik pulau ini yang dikaitkan dengan pelarian Vietnam. Nak tahu lebih lanjut, kena datang ke Pulau Tengah ye… - Pulau Babi Besar / Pulau Besar
Jika anda merancang untuk bercuti dengan harga bajet di kawasan pulau di Mersing, boleh menginap di Bayu Lestari Island Resort yang terletak di Pulau Besar ini.Difahamkan, ‘rate’ penginapan di resort ini 1/3 harga resort di pulau-pulau lain. Memang sesuai dijadikan lokasi berbulan madu. Jarak Pulau Besar ini dari Mersing hanya mengambil masa sekitar 25 minit sahaja dengan menaiki bot dari Jeti Mersing.
HOMESTAY KAMPUNG AIR PAPAN
Jika anda mahu bercuti ke Mersing, usahlah mencari hotel kerana suasana Mersing itu lebih seronok dialami menerusi percutian di homestay yang diusahakan penduduk di sana.
Menerusi percutian di Homestay Kampung Air Papan tempoh hari, MEDIA VARIASI berpeluang menikmati panorama alam yang indah.
Bagai mimpi rasanya saat melihat pemandangan pinggiran pantai di sebelah kanan dan semasa perjalanan diteruskan menuju ke kampung Air Papan, kelihatan jelapang padi yang terbentang luas di sebelah kiri.
Mersing ini ibarat ‘3-in- 1’ kerana kombinasi alam itu terletak berdekatan sahaja (laut-pantai, sawah padi, bukit Selantai). Jadi tidak hairanlah jika ramai para pencinta alam serta geng ‘mountain bike‘ gemar ke Mersing.
Sepanjang program berlangsung, banyak aktiviti yang MEDIA VARIASI lakukan ketika menginap di salah sebuah homestay dikenali D’Legend Homestay. Bilik dan fasiliti yang disediakan memang ‘tiptop’! Tambah pula banyak aktiviti yang dilakukan sepanjang menginap disitu seperti:
- Memancing ikan puyu
- Menikmati air kelapa pandan ‘fresh from tree’
- Belajar cara membuat kuih tradisional Banjar
- Bermain bola tampar dalam parit sawah
Justeru, suka penulis katakan bahawa Mersing merupakan destinasi pelancongan yang serba lengkap dari aspek keindahan alam namun masih belum ramai orang tempatan yang sedar akan kewujudan lokasi ini. Mahu nikmati kepulauan yang masih ‘virgin‘, ayuh bercuti ke Mersing!